RAMAI yang meletakkan kekalahan besar Selangor FC 1-5 di tangan skuad Harimau Selatan tempoh hari ke atas bahu penjaga gol, Khairulazhan Khalid.
Perkara itu bagaimanapun dilihat sebagai satu keputusan tidak adil memandangkan permainan bola sepak dimainkan secara berpasukan dan bukannya individu.
Pandangan itu diluahkan oleh pemerhati sukan, Dr Pekan Ramli ketika ditanya tentang pandangan penyokong yang ingin nama Khairulazhan atau mesra dengan panggilan Yan supaya digugurkan daripada mewakili skuad Harimau Malaya.
Tangkap layar pandangan pengguna Facebook terhadap prestasi Khairulazhan. — Facebook
"Kadangkala penjaga gol ini ada juga hari-hari 'bodoh' yang mengakibatkan mereka membuat banyak kesilapan sehingga memudahkan pihak lawan untuk membolosi pintu gawang.
"Cuma pada saya tidak adil sekiranya penyokong menjatuhkan hukuman kepada penjaga gol sahaja.
"Penjaga gol ini akan bermain dengan baik sekiranya pemain sekeliling memberikan aura permainan yang baik. Secara tidak langsung kerjasama itu akan timbul dan membantu pasukan untuk menewaskan pihak lawan," katanya kepada Majoriti.
Pekan turut menegaskan agar penyokong tidak perlu terlalu beremosi saat pasukan berdepan dengan kekalahan kerana setiap pemain sudah berusaha untuk memberikan yang terbaik.
Bagaimanapun, melihat kepada prestasi Khairulazhan baru-baru ini, Pekan turut mencadangkan agar pemain berusia 32 tahun itu direhatkan sementara waktu.
"Mungkin untuk satu atau dua perlawanan kita boleh memberinya waktu untuk berehat sekejap dan beri peluang kepada penjaga gol lain.
"Pemain lain juga memerlukan kesempatan untuk mempamerkan kebolehan dan 'taring' mereka," jelas beliau.
Sementara itu, ditanya mengenai perbandingan Khairulazhan dengan penjaga gol kedua, Samuel Somerville, Pekan memberitahu tidak adil untuk mewujudkan perbezaan antara kedua-duanya.
"Kebiasaannya kita melihat Khairulazhan bermain. Namun, mungkin selepas ini Samuel Somerville pula boleh diberi peluang pula.
"Saya tetap bertegas bahawa setiap pemain itu mempunyai kekuatan sendiri dan tidak boleh dinilai dengan satu perlawanan sahaja," tambah beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram