PENYERANG import berbisa Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva enggan melihat prestasi pemain pasukan lain yang ingin mencabar kedudukannya selaku Penjaring Terbanyak Liga Super 2022 sebagai tekanan, sebaliknya mahu fokus kepada aksi sendiri.
Sebelum perlawanan menentang Selangor pada Jumaat lalu, pertarungan sengit dapat disaksikan antara Bergson dan Herlison Caion de Sousa Ferreira, yang masing-masing meraih sembilan gol untuk berada di kedudukan teratas penjaring terbanyak Liga Super.
Namun, penyerang dari Brazil itu menyifatkan kedudukan yang terikat itu tidak memberikan tekanan kepadanya apabila dia kekal fokus memberikan yang terbaik.
Dalam aksi menentang Gergasi Merah, bintang berumur 31 tahun itu berjaya meledak dua jaringan untuk bantu skuad menang 5-1 ke atas Selangor selain turut kekal selaku penjaring terbanyak setakat ini.
“Saya rasa sangat bagus, tapi apa yang paling penting adalah mengenai saya dan rakan pasukan saya.
“Mereka melakukan tugas yang baik, jadi saya sangat gembira kerana hasil yang baik dengan kerja keras ini.
“Ia memberikan keyakinan kepada kami di separuh masa kedua (selepas tiga gol separuh masa pertama), dan kami teruskan dengan prestasi yang baik, jadi 5-1 adalah keputusannya.
“Saya tak fikir tentang pemain pasukan lain, saya hanya fikirkan diri saya dan lakukan tugas saya, jadi saya rasa semua orang sudah saksikan apa yang saya dah berikan,” katanya kepada MFL.
Senarai penjaring terbanyak Liga Super 2022.
Dalam pada itu, aksi seorang lagi pemain import Harimau Selatan, Fernando Forestieri juga dilihat banyak memberi impak kepada pasukan apabila turut membantu dengan satu jaringan yang berjaya dilakukan untuk meletakkan skuad di depan ketika aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Ternyata dua gol awal Bergson dan Forestieri menjejaskan moral skuad Selangor sekali gus memberi kelebihan kepada JDT untuk terus menambah jaringan.
“Dalam fikiran saya, tidak kisah siapapun yang menjaringkan gol, apa yang penting kami menang.
“Sebab yang pertama adalah pasukan, jadi bukanlah hanya kepada satu orang.
“Jadi dengan komitmen 11 pemain atau 35 pemain sekalipun, ini tiada apa dengan diri saya, saya hanya fikir kelab ini lebih penting dari saya," ujarnya.
Pada aksi Liga Super seterusnya, JDT akan menerima kunjungan PJ City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram