Ahmad Zahid tak layak pimpin Umno — Tajuddin


  • Politik
  • Isnin, 27 Jun 2022

Tajuddin (kiri) mahu Ahmad Zahid mengundur diri dari Umno secara terhormat.

BEKAS ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memberitahu Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak layak memimpin parti tersebut dan perlu undur diri secara terhormat.

Beliau mendakwa, segala keputusan mesyuarat MKT Umno selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya kehendak Ahmad Zahid sendiri.

Turut didakwa ialah pendirian Ahmad Zahid yang tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

"Sebenarnya Zahid dah lama dianggap tidak layak memimpi Umno. Lebih baik undurkan diri cara terhormat untuk kepentingan parti," katanya.

Pada Jumaat, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pemecatan Tajuddin itu dilakukan kerana sikap pemimpin itu yang didapati mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang medianya selepas Mesyuarat MKT Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat berkata, langkah itu diambil bagi memberi peluang kepada Tajuddin untuk bertugas sepenuh masa sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Kekosongan ditinggalkan oleh Tajuddin itu juga telah diisi oleh bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil pada Jumaat. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram