ENAM pelajar lelaki Pusat Tahfiz Dar al-Fawzan di Seri Iskandar, Perak terselamat dalam kebakaran awal pagi tadi membabitkan sebuah bilik di asrama yang dihuni mereka pada Rabu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.46 pagi.
"Kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat atas berkeluasan 15x10 kaki persegi musnah terbakar kira-kira 15 peratus.
"Seramai enam pelajar yang tinggal di asrama tersebut semasa kejadian itu berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jurucakap itu berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dengan bantuan BBP Batu Gajah yang dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan satu aliran hos bagi melakukan pemadaman dan operasi tamat sepenuhnya pada kira-kira pukul 5.20 pagi. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram