Perodua Myvi terbabas, musnah terbakar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim


  • 112
  • Rabu, 22 Jun 2022

Keadaan sebuah kereta Perodua Myvi yang hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum terbakar. — Bomba

SEORANG pemandu wanita menempuh detik cemas apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas di Lebuhraya Sultan Abdul Halim di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, kereta jenis Perodua Myvi terbabit terbabas sejurus tiba di lokasi kejadian berhampiran Terowong Duta menghala ke pusat bandar dan terbakar sekitar pukul 9 pagi.

"PGO Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pada jam 9.22 pagi dan sebuah jentera bersama 11 anggota pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati terdapat sebuah kereta model Perodua Myvi yang berada di bahu jalan sedang terbakar," kata kenyataan itu pada Rabu.

Menurutnya, mangsa, seorang wanita berusia 52 tahun berjaya keluar dari kenderaan terbabit tanpa sebarang kecederaan dan menghubungi talian kecemasan.

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya tujuh minit kemudian dan kemusnahan kebakaran dianggarkan sebanyak 90 peratus.

"Pemandu kereta berkenaan memaklumkan kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu terbakar," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram