Masa, peluang bersaing tentukan kualiti bola sepak negara — Pakar


  • Podium
  • Sabtu, 25 Jun 2022

JDT menjadi antara pasukan yang berjaya mengangkat liga tempatan setaraf dengan industri sukan antarabangsa. — JDT

PERMAINAN bola sepak sering dikaitkan dengan semangat nasionalisme, lebih-lebih lagi apabila ia dimainkan secara berpasukan.

Bagaimanapun ada yang tidak berpuas hati apabila banyak pasukan tempatan membuka peluang kepada pemain antarabangsa.

Memetik perkongsian Harith Danial Rosdee di Facebook, dia berpendapat peminat kelab tempatan memilih mengekalkan konsep 'anak jati'.

Dibandingkan dengan pemain dari kelab luar seperti Buriram United (Thailand) turut memiliki pemain luar seperti Jonathan Bolingi, Digao, Rebin Sulaka dan Diego Bardanca.

Begitu juga dengan kelab negari jiran, Indonesia, Makasar FC (Liga 1 Indonesia) yang mempunyai pemain luar antaranya Everton, Wiljan Pluim dan Yuran.

podium

Tangkap layar pandangan yang dikongsikan oleh Harith Danial Rosdee di Facebook.

"Tengok liga negara Asia yang lain semuanya mengikut jejak Eropah yang menggabungkan pemain antarabangsa.

"Kenapa Liverpool tidak menggunakan anak jadi Liverpool dan mengambil Messi. Lihat Tunku Ismail Ibrahim (TMJ) membeli pemain dari Eropah untuk masa depan Liga Malaysia supaya setanding dengan negara luar," katanya.

Pandangan tersebut dipersetujui oleh pemerhati sukan, Asan Ahmad yang menyifatkan Johor Darul Takzim (JDT) sudah berada di hadapan berbanding pasukan lain, selain patut dijadikan sebagai contoh .

Katanya, sukan bola sepak ini sudah dianggap sebagai industri yang membuka peluang kepada pemain untuk meneroka lebih banyak peluang.

"Kelab ini diibaratkan sebagai sebuah syarikat manakala pemain pula pekerja. Sudah tentu kita inginkan 'syarikat' yang terbaik untuk masa depan dan gaji.

"Cara begitu dilakukan dalam Liga Eropah apabila pemain hebat terkenal dan berbakat bermain untuk kelab yang setanding dengan dirinya.

"Pemain hebat ini dianggap sebagai produk yang mampu memajukan kelab sekali gus menjadikan ia lebih terkenal dan berjaya," katanya kepada Majoriti.

Asan Ahmad turut tidak menolak setiap pemain itu tetap mempunyai sifat nasionalisme dan jati diri meskipun bermain dengan kelab dari negara atau negeri berbeza.

"Apabila melibatkan soal negeri, kita tetap akan berusaha untuk memberikan yang terbaik, tidak adil menuduh mereka tiada semangat cintakan negara.

"Pada saya lapangan sukan tempatan masih belum berada pada tahap industri seperti di Eropah. Mungkin kita memerlukan sedikit masa dan lebih peluang untuk mendidik serta bersaing," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram