Tiga bintang Bali United jadi ancaman buat Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 24 Jun 2022

Kedah hadir ke Bali dengan dua pertukaran pemain import baharu iaitu Mahmoud Al-Mardi dan Sanrawat Dechmitr. — Facebook

JUARA Liga 1 Indonesia, Bali United FC pastinya mempunyai kelebihan berbanding Kedah Darul Aman FC (KDA) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi pertama Kumpulan G Piala AFC 2022 di Stadium Capt. I Wayan Dipta, Bali, Indonesia pada Jumaat.

Perkara ini turut disahkan oleh ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, apabila dia beranggapan ujian pertama pada saingan Piala AFC kali ini cukup mencabar kerana Bali United memiliki reputasi serta aura juara sebanyak dua kali dalam Liga 1 Indonesia.

Kedah hadir ke Bali dengan dua pertukaran pemain import baharu iaitu Mahmoud Al-Mardi (Jordan) dan Sanrawat Dechmitr (Thailand), sekali gus menunjukkan skuad Hijau Kuning mahu membuktikan kemampuannya dalam Kumpulan G.

Perlawanan ini pasti memberikan kelebihan buat pasukan tuan rumah memandangkan pasukan tersebut beraksi di gelanggang sendiri dan juara Liga Indonesia itu juga pasti selesa dengan kehadiran penyokong mereka.

Selain bermain di gelanggang sendiri, ini merupakan 3 pemain yang patut skuad Hijau Kuning waspada:

Spaso

Penyerang berumur 34 tahun itu berjaya memenangi Kasut Emas Liga 1 dan sekali gus dinobatkan sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa untuk Bali United. — Agensi

1. Ilija Spasojevic

Penyokong Melaka United pasti mengenali bekas ketua pasukan mereka, Ilija Spasojevic yang pernah membantu skuad Hang Tuah itu menjadi juara Liga Premier pada 2016 sekali gus menamatkan kemarau trofi selama 33 tahun kelab itu.

Spasojevic pernah merangkul anugerah Kasut Emas Malaysia 2016 dengan menjaringkan 24 gol di Liga Premier dan turut dinamakan dua kali sebagai Pemain Terbaik Malaysia PFA.

Penyerang naturalisasi Indonesia itu menikmati salah satu musim terbaik dalam kariernya apabila tampil begitu tajam pada musim 2021 sehingga mampu menjaringkan 23 gol dalam 34 perlawanan.

Hampir separuh jaringan daripada keseluruhan 54 gol yang dijaringkan oleh Bali United.

Spasojevic adalah penyerang yang berbahaya apabila berada di dalam kotak penalti lawan yang mana dia mampu menjaringkan gol menggunakan kedua-dua belah kakinya.

Baru-baru ini penyerang berumur 34 tahun itu berjaya memenangi Kasut Emas Liga 1 dan sekali gus dinobatkan sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa untuk Bali United.

Pesepak bola Bali United Privat Mbarga (kiri) berebut bola dengan pesepak bola Barito Putera Nazar Nurzaidin (kanan) saat pertandingan Liga 1 di Stadion I Gusti Ngurah Rai, Denpasar, Bali, Minggu (9/1/2022). Bali United berhasil mengalahkan Barito Putera dengan skor 3-0. ANTARA FOTO/Fikri Yusuf/foc.

Mbarga menjaringkan empat gol dan lapan assist yang mana menjadikan dia antara penyumbang bantuan terbanyak untuk Bali United pada musim 2021. — Agensi

2. Privat Mbarga

Pemain sayap Cameroon ini mungkin baru sahaja menyertai Bali United pada pertengahan musim 2021. Bagaimanapun, Mbarga adalah antara tonggak utama buat skuad kendalian Stefano Cugurra.

Selepas 15 perlawanan, Mbarga mampu menjaringkan empat gol dan lapan bantuan gol. Rekod bantuan itu menjadikan dia antara penyumbang bantuan terbanyak untuk Serdadu Tridatu pada musim 2021.

Mbarga juga menjadi salah satu penentu kebangkitan Bali United dalam pusingan kedua Liga 1 Indonesia. Walaupun apabila siri pertama tamat, masih lagi memihak kepada pasukan Bali United untuk menjadi juara.

Mbarga memberikan beberapa kekuatan utama yang tidak dimiliki oleh pemain sayap tempatan Bali United iaitu kepantasan, kepakaran dalam memberikan tindak balas, serta keberanian untuk menjaringkan gol.

Sebelum ini pemain berusia 30 tahun itu pernah dikritik hebat kerana datang dari Liga Kemboja, tetapi kehadirannya ke Bali United membuatkan corak permainan Serdadu Tridatu bermain dengan sangat laju.

Ricky

Shin Tae Yong tidak pernah berminat dengan pemain pertahanan berketinggian 176 cm yang beraksi bersama Bali United. — Agensi

3. Ricky Fajrin

Pemain pertahanan kiri Bali United ini semakin menunjukkan kematangannya apabila dia sering menjadi pilihan utama Stefano Cugurra untuk mengisi kekosongan di posisi tersebut.

Ia terbukti dengan jumlah 30 penampilan yang ada pada Ricky Fajrin, selain itu juga pemain berusia 26 tahun ini bukan sahaja pandai bertahan tetapi dia juga sangat pantas apabila pasukan Bali United mula menyerang.

Ricky mempunyai kepantasan dalam membantu pasukan menyerang dari sayap. Pada musim 2021 Ricky berjaya menyumbang lima bantuan gol untuk Bali United sekali gus membantu pasukannya menjuarai Liga 1 Indonesia.

Walaupun beraksi cemerlang Ricky belum pernah disenaraikan oleh ketua jurulatih kebangsaan Indonesia, Shin Tae Yong tidak pernah berminat dengan pemain pertahanan berketinggian 176 sentimeter yang beraksi bersama pasukan kebangsaan B-23 dan Indonesia sejak 2017.

Sebelum ini Ricky pernah mengalami kecederaan selepas Piala Menpora 2021 tetapi dia bangkit dan terus beraksi cemerlang bersama Bali United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram