Ramai tak puas hati, lebih 3,000 ibu bapa, graduan dibiarkan berhujan selepas konvo UPSI, apa berlaku sebenarnya?


  • Tular
  • Khamis, 23 Jun 2022

Keadaan pelajar dan ibu bapa yang dikatakan perlu meredah hujan sebaik majlis konvokesyen di UPSI selesai. — TikTok

ACARA graduasi tentu sahaja menjadi detik bersejarah buat semua pelajar, begitu juga dalam kalangan keluarga.

Masakan tidak, bertahun-tahun menuntut ilmu, menggenggam segulung kertas berharga sama ada sijil, diploma, ijazah atau pengajian di peringkat lebih tinggi yang sudah lama diidamkan dan ia sudah pasti memberi kepuasan yang sukar digambarkan.

Namun, sayang apabila perkara yang diharapkan berlaku sebaliknya. Begitulah gambaran keadaan yang dialami oleh sebilangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Menerusi rakaman video yang tular di TikTok, dianggarkan 3,000 ibu bapa dan pelajar terpaksa meredah hujan sebaik sahaja selesai majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di Tanjung Malim, Perak.

Rata-rata warganet meluahkan rasa kesal dengan tindakan pengurusan UPSI yang tidak menyediakan kemudahan seperti khemah dan kerusi tambahan bagi menjaga kebajikan ibu bapa dan pelajar.

"Seharusnya pihak universiti menyediakan khemah dan kemudahan lain bagi ibu bapa yang menunggu di luar.

"Ketika itu situasi sangat tidak menentu. Saya fikir setiap daripada kita perlu bertenang memandangkan ia merupakan satu majlis sambutan. Saya perlu menenangkan bapa ketika berdepan dengan keadaan itu.

"Saya fikir mereka tidak mempunyai perancangan yang rapi, perlu adanya kesedaran umum dan rasa simpati untuk melakukan lebih baik. Sedih melihat orang tua semua terpaksa berhujan.

"Nampaknya bunga konvokesyen itu sudah berfungsi sebagai payung pada hari graduasi," komen beberapa pengguna TikTok.

WhatsApp Image 2022-06-23 at 11.54.44 AM (2)

WhatsApp Image 2022-06-23 at 11.54.45 AM

WhatsApp Image 2022-06-23 at 11.54.45 AM (1)

Tangkap layar sebahagian komen warganet. — TikTok

Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Izwan Shahril ketika diminta memberi reaksi berhubung kejadian itu berkata, ibu bapa dan graduan dilihat menumpang teduh di bahagian kiri dan kanan Dewan Tuanku Canselor (DTC) berikutan ruang yang ada sangat luas untuk berteduh.

"Ramai graduan dan keluarga ingin merakam kenangan di hadapan DTC yang terdapat logo UPSI dan mencari sudut menarik.

"Kami terharu dengan suasana semua graduan dan keluarga yang ramai walaupun hujan tetap ingin merakam kenangan sempena istiadat konvokesyen anak-anak mereka," jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berikutan hujan lebat, UPSI mengambil langkah membuka Panggung Percubaan yang terletak di depan DTC untuk ibu bapa. Mereka tidak perlu meredah hujan untuk ke sana kerana terdapat susur gajah yang dibina antara DTC dengan Penggung Percubaan.

Pada masa sama terdapat sebuah kafe yang ditempatkan di belakang DTC termasuk ruangan untuk ibu bapa dan pelajar berteduh bagi mengelakkan hujan.

Pada hari berkenaan lebih 900 graduan bagi program pengajian di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FPM) serta Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) menerima ijazah masing-masing daripada Pro Canselor, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram