SELEPAS tular di Melaka, Restoran 35 mencetuskan kontroversi akibat bahasa kasar yang digunakan terhadap pelanggan, kali ini sebuah kedai nasi lemak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pula mengikut jejak langkah yang sama.
Hanya didedahkan sebagai 'Restoran Nasi Lemak A', seorang pelanggan meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila dilayan dengan kasar oleh pekerja kedai makanan itu.
Menurutnya, dia yang ke kedai berkenaan bersama seorang rakan mendapat layanan yang kurang beradab semasa bertanya sekiranya boleh memesan air terlebih dahulu sebelum nasi lemak.
Difahamkan kedai yang bedekatan dengan sebuah pasar itu mempunyai prosedur sendiri dalam membuat pesanan yang dipanggil 'rukun nasi lemak.'
"Saya tanya soalan mudah pada seorang pekerja di sana, 'boleh ke jika mahu pesan air terlebih dahulu?' kerana pada ketika itu saya sudah mengambil tempat duduk dan rakan beratur untuk membuat pesanan.
"Tanpa disangka orang berkenaan menjawab secara kasar dan membebel kepada saya serta menyuruh baca rukun nasi lemak yang tertera di dinding premis," katanya yang tidak melawan kerana menghormat individu tersebut yang sudah tua.
Tambahnya, pekerja terbabit bercakap dengan nada yang kuat sehingga orang sekeliling memandangnya.
Jelasnya lagi, dia tidak menyangka akan berdepan dengan keadaan sedemikian dan tindakan pekerja itu telah menjatuhkan air mukanya.
"Kalau berniaga perlu jadi professional, tidak kira penat atau sibuk, bila pelanggan bertanya dengan cara baik perlu dijawab dengan cara yang sama.
"Ini baru berjaya sedikit sudah berubah, pelanggan pun dimara-marah atau dimaki.
"Kalau ikutkan hati mahu sahaja pergi dari kedai berkenaan, namun disebabkan rakan saya mahu makan nasi lemak tersebut, saya ikutkan sahaja," ujarnya.
Tambahnya lagi, restoran nasi lemak tersebut sering mendapat kunjungan ramai dan menjadi popular dalam kalangan penduduk di ibu kota.
Katanya lagi, dia sudah lama makan nasi lemak di kedai itu sejak ia dijual secara bungkus dan dihantar dikedai-kedai lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram