Pelancong kena tunggu empat jam masuk Malaysia


  • Massa
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Pihak berkaitan seharusnya meningkatkan perkhidmatan demi keselesaan para pelawat. — Sinar Harian

MAJLIS Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC) mendakwa pelancong yang menaiki bas pelancongan menerusi Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) terpaksa menunggu selama berjam-jam di pintu sempadan sebelum dapat memasuki Malaysia.

Presidennya, Jimmy Leong Wie Kong berkata, keadaan itu amat membimbangkan dan tidak boleh diterima dan ia boleh menjejaskan industri pelancongan.

"Pelancong yang datang melalui bas-bas pelancongan menerusi Linkedua pada jam 8.30 pagi (Sabtu) masih menunggu dalam barisan sehingga jam 12.30 tengah hari. Empat jam lamanya.

"Kakitangan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) memberi keutamaan kepada bas awam tempatan dan ini (keadaan ini) menyebabkan bas-bas pelancong bergerak dengan perlahan,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

Justeru beliau berharap kerajaan Johor menyedari keadaan ini dan akan memberi perhatian serius dalam urusan di pintu masuk negara dan mencari jalan penyelesaian.

"Sekarang sempadan telah dibuka semula, industri seharusnya meningkatkan perkhidmatan demi keselesaan para pelawat," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram