TINDAKAN dua pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP) yang mengeluarkan komen berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW sangat melampau dan tidak bertamadun.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang berkongsi perkara itu di Facebooknya berkata, walaupun kedua-dua individu itu digantung kerja atau dibuang, tindakan mereka dianggap anti Islam di pihak BJP.
“Parti tersebut boleh mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mengatakan mereka peduli tentang semangat menghormati semua agama.
“(Namun), dunia tetap dapat melihat rekod kerajaan BJP yang menjadi bencana mutlak bagi kemajmukan India dan reputasinya sebagai sebuah negara harmoni pelbagai agama.
“Ini termasuk tindakan kontroversi Akta Kewarganegaraan (Pindaan) dan pembatalan kedudukan khas Jammu dan Kashmir serta penindasan mengerikan warga di sana,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, India perlu menyedari tindakan dan kata-kata pemimpin mereka mempunyai impak jauh melangkaui sempadan mereka.
“Sikap berhati-hati dan pemikiran yang waras mestilah dipegang jika mereka mahu terus dianggap negara yang bertanggungjawab,” tegasnya.
Sebelum ini, dua pegawai parti pemerintah, BJP membuat kenyataan mengenai Islamofobia dan menghina Nabi Muhammad SAW.
Individu berkenaan ialah jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) yang juga parti pemerintah dianggotai Perdana Menteri India, Nupur Sharma, Narendra Modi serta Ketua Media BJP Delhi, Naveen Kumar Jindal.
Kenyataan Sharma yang ke udara melalui televisyen itu mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam malah ramai menuntut wanita itu ditahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram