PDRM mahukan perubahan akta berkaitan dadah — Ayob Khan


  • 112
  • Ahad, 12 Jun 2022

Ayob Khan bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Isu Sosial Masyarakat: Situasi, Cabaran dan Pencegahan Dalam Era Masa Kini di Dewan Canselor UTeM, Melaka pada Ahad. — Sinar Harian

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda atau menggubal beberapa akta berkaitan hukuman dadah selaras dengan perkembangan semasa salah guna bahan terlarang itu di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebagai contoh, jenis dadah yang kini banyak disalah guna penagih di negara ini ialah syabu dan pil ekstasi berbanding heroin sebelum ini.

"Sebelum ini, bagi heroin 15 gram memang hukuman gantung tetapi bagi syabu dan pil ekstasi ialah 50 gram (hukuman gantung) jadi kita nak kurangkan lagi berat bagi syabu kepada 15 gram.

"Cadangan ini telah dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti secara menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Seminar Isu Sosial Masyarakat: Situasi, Cabaran dan Pencegahan Dalam Era Masa Kini di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Ahad.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya sedang menyenaraikan bahan kimia terlarang yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis baharu seperti syabu, ketamin, pil yaba dan pil kuda.

Katanya, setakat ini lebih 60 bahan kimia terlarang tersenarai dalam penggunaan penghasilan dadah jenis baharu di Malaysia berbanding lebih 900 bahan kimia terlarang untuk tujuan tersebut yang tersenarai di luar negara.

Selain itu, Ayob Khan berkata, PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), akan terus memperkukuhkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang peningkatan penyeludupan ganja dari Thailand, susulan keputusan kerajaan negara itu membenarkan rakyatnya menanam ganja berkuat kuasa 9 Jun lalu.

Beliau berkata, keputusan Thailand itu dilihat akan memberi impak kepada aktiviti penyeludupan ganja ke negara ini ekoran tiada lagi sekatan pergerakan tumbuhan itu di negara berkenaan walaupun ia masih dilarang di Malaysia.

"Pergerakan ganja di negara itu tiada had lagi mungkin semua akan tunggu di sempadan untuk masuk ke Malaysia dan semalam sahaja sebanyak 860 kilogram ganja yang cuba diseludup masuk dari Thailand ke negara ini berjaya dirampas," katanya.

Mengulas tentang pemansuhan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah, beliau berkata, ia tidak akan memberi kesan negatif pada usaha PDRM untuk memerangi jenayah dadah dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram