YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kerajaan dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, harus berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan dalam era pascapandemik.
Al-Sultan Abdullah bertitah, bagi menempuh gelora masa hadapan dalam era pascapandemik berkenaan, pengurusan negara memerlukan suatu rencana yang bitara, mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan.
"Pada masa yang sama, rakyat beta turut berperanan dalam mendokong usaha-usaha murni kerajaan disamping terus berusaha untuk mendepani sebarang cabaran. Natijahnya, pemulihan negara memerlukan simbiosis yang erat antara kerajaan dan rakyat beta.
"Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang, adalah sebenarnya merupakan resepi dan kekuatan dalam membentuk aspirasi nasional. Ia merupakan tiang kemakmuran negara dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada Isnin. Titah ucapan baginda berkenaan turut disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan pada Ahad.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, sektor ekonomi dan kehidupan seharian rakyat juga telah menampakkan pemulihan, bermula dari pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 lepas dan baginda bersyukur kerana pandemik Covid-19 kian pulih, sekali gus rakyat berupaya kembali menikmati kehidupan seharian yang sebelum ini terjejas akibat pandemik itu.
Titah Al-Sultan Abdullah, pada hakikatnya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mengemudi negara keluar dari kesan pandemik Covid-19.
Justeru, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat negara ini untuk berganding bahu dalam kesepaduan yang erat ke arah membentuk Malaysia yang gemilang. — Bernama