Peningkatan kos sara hidup pelajar Mara di UK akan diteliti — Mahdzir Khalid


  • Primer
  • Selasa, 14 Jun 2022

Mahdzir Khalid (lima dari kiri) menerima memorandum dari Muhammad Iman Irfan.

MEMORANDUM berkaitan peningkatan kos sara hidup pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di United Kingdom (UK) akan diteliti kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir menerima memorandum yang disediakan oleh Kelab Umno United Kingdom dan Ireland itu daripada Pengerusinya, Muhammad Iman Irfan Yahya di London, United Kingdom pada Isnin ketika membuat lawatan kerja tujuh hari ke UK bermula Jumaat lepas.

Mahdzir berkata, memorandum itu disediakan menerusi satu kajian khas yang dilaksanakan oleh Kelab Umno United Kingdom dan Ireland membabitkan seramai 400 pelajar tajaan Mara dan juga agensi lain sebagai responden.

"Memorandum 30 muka surat itu akan dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi kementerian dan Mara untuk penelitian," katanya.

Menurut Muhammad Iman Irfan, pihaknya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menyiapkan kajian memorandum itu dan turut mengesyorkan beberapa cadangan dan idea untuk dibawa kepada peringkat kementerian.

Muhammad Iman Irfan berkata, elaun sara hidup pelajar Mara ke luar negara perlu dinaikkan segera memandangkan ia tidak dinaikkan sejak 12 tahun lepas.

Beliau berkata, kos sara hidup pelajar Malaysia di luar negara sangat membebankan dan menjejaskan tumpuan pengajian pelajar yang rata-ratanya daripada kumpulan B40, dan menyebabkan sebahagian besar pelajar terpaksa melakukan kerja sambilan bagi menampung kos sara hidup.

Memorandum tersebut turut diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam pada itu, Azhar berkata, Mara mengambil serius kandungan memorandum itu untuk menjaga kebajikan pelajar tajaannya bukan sahaja di luar negara malah juga di dalam negara.

"Kami di pihak Mara akan menggunakan memorandum tersebut sebagai sebahagian daripada data kami untuk melihat semula kadar elaun sedia ada.

"Kami akan gunakan juga untuk kami menyiapkan kertas kerja permohonan untuk mempertimbangkan semula kadar elaun yang sepatutnya, kami akan mohon kepada kerajaan untuk dipertimbangkan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram