'Taubat dosa berulang bukan permainkan ALLAH, tapi mintalah keampunan sampai mati'


  • Mukmin
  • Rabu, 15 Jun 2022

Solat sunat taubat merupakan cara untuk seorang Muslim kembali kepada ALLAH SWT.  — Agensi

SETIAP manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa di muka bumi ini, tidak kira sama ada dosa kecil atau besar dan atas sebab itulah, kita sebagai manusia jangan pernah berhenti berusaha untuk menghindari daripada mengulangi kesilapan yang sama.

Pintu taubat tidak pernah sesekali ditutup ALLAH SWT buat hamba-NYA melainkan apabila tibanya hari kiamat walaupun manusia berulang kali melakukan dosa sama dan kembali meminta pengampunan daripada Yang Esa.

Tetapi perlu diakui bahawa perkara yang paling susah adalah untuk beristiqamah meneruskan amalan dan tidak mengulangi dosa yang sama walaupun pintu taubat itu sentiasa terbuka.

Maka ada yang menimbulkan persoalan, adakah taubat kita akan diterima ALLAH walaupun sering melakukan kesalahan dan dosa yang sama kerana taubat itu seperti dilihat mempermain-mainkan keampun-NYA.

Bagi menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Adnin Roslan, perbuatan taubat berulang kali itu tidak dianggap sebagai mempermainkan Sang Pencipta sebaliknya ALLAH SWT sangat mencintai orang yang sering bertaubat selepas melakukan dosa.

Firman ALLAH SWT: "Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya."(Surah Toha, ayat 82)

"Nak tinggalkan dosa yang ketagih itu bukan mudah. Cakap memang senang tapi orang yang terlibat nak tinggalkan benda sudah ketagih memang sangat-sangat susah.

"Sebab itu paling penting adalah usaha. Kalau kita jatuh dalam usaha kita bangkit balik. Sudah buat salah, taubat balik. Sampai bila? Sampai mati," katanya pada sebuah klip video di Tiktok bagi menjawab persoalan yang diajukan orang ramai.

Ahmad Adnin yang juga merupakan penulis buku berkata, seseorang Muslim yang dalam usaha untuk meninggalkan maksiat itu perlulah mencuba beberapa perkara agar dapat membantu secara perlahan-lahan menjauhi dosa.

"Sepanjang usaha kita meninggalkan maksiat yang kita sudah ketagih itu, pertama sekali sentiasa minta ampun dengan ALLAH SWT setiap kali buat dosa. Kedua jangan bangga dengan dosa, sentiasa malu dengan dosa anda.

"Ketiga, sentiasa menerima teguran dari orang lain. Keempat pula ialah sentiasa nasihat orang lain juga. Ingat jangan bangga dengan dosa," katanya.

Bertaubat atau kembali kepada Allah itu menuntut manusia memperbaiki dirinya, menyusun balik cara hidupnya dan menyambung kembali perhubungannya dengan ALLAH dalam bentuk yang lebih murni. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram