Pemandu mabuk rempuh suami isteri OKU di Jasin kena reman 4 hari


Perintah reman terhadap operator kilang berusia 24 tahun itu bermula Selasa.

SEORANG lelaki yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Orang Kelainan Upaya (OKU) di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Jasin, Melaka pada Isnin, ditahan reman empat hari bermula Selasa.

Perintah reman terhadap operator kilang berusia 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nabihah Mohd Noor di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, pemuda itu yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk telah merempuh motosikal yang dinaiki mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 48.

Seorang penunggang motosikal Ya’akob Mohamad, 57, turut mengalami cedera ringan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram