Bintang utama cedera termasuk kemalangan jalan raya, Kelantan sukar kekal momentum


  • Podium
  • Rabu, 08 Jun 2022

Pemain KUFC diharap cepat menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan taktikal yang bakal diterapkan jurulatih selepas ini. — Facebook

MASALAH kecederaan beberapa pemain utama menghantui kem Kelantan United (KUFC) bagi menghadapi pusingan kedua Liga Premier bermula akhir bulan ini, kata Ketua Jurulatih KUFC, Syamsul Saad.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi itu memberi tekanan kepada barisan kejurulatihan untuk merancang strategi serta memperbaiki beberapa kelemahan pemainnya.

"Sebelum ini, penyerang import, Njoku Jacob tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan pangkal paha, pemain tengah, Haziq Subri pula mengalami kecederaan buku lali dan terbaharu penyerang Akif Afizi terlibat dengan kemalangan jalan raya di Kota Bharu, minggu lalu.

"Oleh itu, kecederaan yang dialami beberapa pemain utama ini sedikit sebanyak telah memberi kesan untuk mengekalkan momentum permainan pasukan kami," katanya pada Rabu.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan, KUFC ketika ini berada di kedudukan kelima dengan mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.

Pusingan kedua Liga Premier musim 2022 akan disambung semula dari 25 Jun hingga 3 September.

Mengulas lanjut, Syamsul berkata, beliau akan melakukan beberapa perubahan taktikal dan posisi pemain terutama beberapa pemain simpanan yang tidak pernah beraksi dalam perlawanan sebelum ini sebagai persediaan selanjutnya.

"Kita akan menguji kemampuan beberapa pemain lagi menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan untuk mengisi kekosongan pemain utama yang mengalami kecederaan.

"Saya harap pemain-pemain ini cepat menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan taktikal yang diterapkan selepas ini," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram