Pembantu gudang maut tercampak, RXZ rempuh NVX di Elite dekat Kuala Langat


  • 112
  • Selasa, 07 Jun 2022

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa dalam kemalangan maut pada Isnin. — Sinar Harian

SEORANG pembantu gudang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Kilometer 22.6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara di Kuala Langat, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi.

"Kejadian berlaku apabila terdapat sebuah motosikal jenis Yamaha NVX dari arah (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke arah Shah Alam dipercayai telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kecemasan kerana ada kenderaan lain di hadapannya sedang brek.

"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal Yamaha NVX berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak dan jatuh di atas jalan raya.

"Mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur 26 tahun itu mengalami kecederaan yang parah dan telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Putrajaya manakala penunggang Yamaha NVX tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram