POLIS menahan pasangan suami isteri warga tempatan bagi membantu siasatan kes penipuan tempahan rumah inap desa (homestay) yang tidak wujud di Jalan Pasir Panjang, Terengganu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, pasangan itu masing-masing berusia 27 dan 26 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Dungun, Terengganu pada Rabu.
"Pada 3 Jun lalu, polis menerima satu laporan bersabit penipuan tawaran homestay yang tidak wujud di daerah ini.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Kuala Terengganu telah membuat serbuan di sebuah rumah di Dungun pada Rabu.
"Selain menahan pasangan suami isteri, polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad ATM (mesin juruwang automatik), SD Microkad dan kad sim," katanya.
Jelas beliau, pasangan suami isteri itu kini ditahan reman selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad.
Pada Selasa, media melaporkan hasrat beberapa pelancong mahu menghabiskan percutian di Terengganu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap desa di sebuah kampung di daerah ini tidak wujud.
Susulan itu, polis meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan tempahan rumah inap desa (homestay) yang tidak wujud di Jalan Pasir Panjang di sini tampil membuat laporan polis.
Setakat Rabu, polis hanya menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang merupakan kakitangan kerajaan dari Terengganu berusia 25 tahun pada 3 Jun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram