Apa 5 kelemahan ketara Harimau Malaya, segera perbaiki elak dibaham Bahrain


  • Podium
  • Khamis, 09 Jun 2022

Harimau Malaya bakal menentang Bahrain pada 11 Jun nanti. — Facebook FAM

KEGEMBIRAAN buat Ultras Malaya apabila pasukan Malaysia memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan rentak kemenangan selepas menumpaskan Turkmenistan 3-1 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Rabu malam.

Aksi sulung Kumpulan E itu menyaksikan Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-11 menerusi bantuan bintang muda, Arif Aiman Hanapi.

Selang lima minit kemudian, penyerang kelab Terengganu FC, Faisal Halim berjaya menambah gol kedua Malaysia dan jaringan ketiga disudahi oleh tonggak pertahanan Corbin Ong yang melakukan larian solo dari bawah sehingga ke kotak penalti pelawat pada penghujung babak pertama.

Di sebalik langkah kanan itu, penyokong Malaysia masih belum boleh tersenyum gembira apabila melihat beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum menentang Bahrain iaitu pasukan berada pada kedudukan tangga ke-89 dunia.

Berikut lima kelemahan yang dikenalpasti oleh para penyokong sebelum menentang Bahrain pada 11 Jun nanti;

1) Rehatkan dua pemain naturalisasi

de paula

De Paula masih kurang digemari oleh penyokong Malaysia.

Sejak senarai 23 pemain skuad Harimau Malaya diumumkan pada minggu lalu, penyokong masih tidak berpuas hati kerana menyenaraikan Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh untuk beraksi pada pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023.

Kemarahan penyokong terhadap dua pemain berkenaan masih diteruskan selepas aksi kurang cemerlang mereka sewaktu menjadi pemain gantian pada babak kedua ketika menentang Turkmenistan.

"Tolonglah jangan bawa masuk De Paula lagi. Tidak ada fungsi. Serangan langsung tiada sewaktu dia masuk. Lari-lari anak. Suara aku hilang dekat stadium sebab dialah. Buat dosa saja sebab sumpah orang. Menyakitkan hati," kata penyokong, Wan Muhammad Ridhuan.

"Sumareh itu tarik balik sajalah status naturalisasi, makin merapu..bergaduh saja tahu. De Paula macam biasa mula masuk sajalah rajin, lepas tu joging macam kejar anak ayam," ujar Abdul Hadi MJ.

2) Konsisten sepanjang perlawanan

Penyokong menyifatkan hanya pada babak pertama sahaja skuad Malaysia dilihat konsisten dalam menyerang sehingga berjaya menghasilkan tiga jaringan namun bertukar separuh masa kedua skuad kebangsaan dilihat bermain dengan sangat tenang.

Gaya permainan yang perlahan sewaktu separuh masa kedua perlawanan itu tidak boleh diteruskan ketika menentang Bahrain kerana risau skuad Harimau Malaya akan dibaham oleh pasukan tersebut.

"Dengan permainan yang diperlahankan, beberapa kali Malaysia melakukan kesilapan di bahagian tengah bawah dan tengah yang mampu mengundang padah buat pasukan. Malaysia harus kurangkan kesilapan bila bertemu Bahrain yang sudah pasti sebuah pasukan yang lebih ampuh dan klinikal di bahagian hadapan," kata Faizan Inzam.

3) Perkemaskan bahagian tengah dan pertahanan

kesebelasan

Barisan kesebelasan utama pada perlawanan Turkmenistan.

Pujian sememangnya perlu diberikan pada pemain bahagian tengah dan pertahanan skuad kebangsaan terutama kesebelasan utama seperti Syamer Kutty, Dion Cools, Corbin Ong, Matthew Davies dan Azam Azih.

Namun terdapat penyokong masih berasakan jentera tengah dan pertahanan perlu diperkemaskan lagi agar tiada kelompongan yang boleh dibolosi pihak lawan terutama bagi perlawanan menentang Bahrain.

Sebagai contoh, pada aksi Rabu malam itu pemain pertahanan, Dion Cools melakukan kesilapan kecil apabila tertanduk bola ke belakang dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Farizal Marlias hingga Turkmenistan berhasil mencetak gol pertama mereka menerusi Annadurdyyev yang mudah menolak masuk bola.

"Main dengan Bahrain kelak harap pemain pertahanan jangan leka. Fokus. Main dengan laju, banyak cari kawasan kosong supaya kawan boleh hantar kalau pihak lawan bagi tekanan. Tengah dan forward saling interaksi nak buat serangan harus ada rancangan. Jadi komunikasi atas padang amat penting untuk pemain tengah dan forward. Fokus," kata Zul Jaiza.

4) Khuzaimi bukan Sharul Saad

khuzaimi

Khuzaimi Piee berjersi 15 merupakan pemain pertahanan yang diharapkan bermain sewaktu menentang Bahrain.

Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee diharapkan akan mengemudi jentera pertahanan pada perlawanan menentang Bahrain selepas melihat kelemahan yang dipamerkan bintang Johor Darul Takzim, Shahrul Saad.

Pada aksi menentang Turkmenistan, Shahrul Saad gagal menolak keluar bola yang menyaksikan satu gerakan ke gawang dilakukan pemain pasukan itu hingga menyebabkan keadaan kucar-kacir di hadapan pintu gol Harimau Malaya.

"Walaupun menang, kelemahan masih lagi nampak ketara. Banyak hilang bola di bahagian tengah. Pertahanan kurang kemas. Lebih baik Khuzaimi main banding Sharul Saad," kata Jjohari Mohd.

5) Elak gandingkan Faisal Halim-Arif Aiman serentak

Faisal Halim yang membawa gelaran man of the match pada aksi di Stadium Bukit Jalil itu dilihat cukup cemerlang membarisi kesebelasan utama namun kerisauan penyokong apabila dia diturunkan serentak bersama Arif Aiman.

Bagi penyokong, barisan jurulatih perlu gandingkan Arif Aiman bersama Akhyar Rashid pada babak pertama manakala Faisal Halim dipasangkan bersama Safiq Ahmad.

"Kim Pan-gon tidak boleh turunkan Faisal Halim dan Arif Aiman sekali dalam barisan kesebelasan utama kerana bila separuh masa kedua kucar-kacir pemain gantian yang masuk tak bagi impak yang sama macam dua pemain utama ini. Separuh masa pertama mungkin boleh gandingkan Arif Aiman dan Akhyar/ Syafiq dan separuh masa kedua masukkan Faisal Halim," kata Mohd Zamri Mat Isa. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram