TIGA perlawanan, tiga kekalahan, sembilan kali bolos dan hanya satu gol dijaringkan.
Itulah perjalanan skuad Harimau Muda dalam Piala Asia dan angka tersebut jelas menunjukkan betapa kritikalnya prestasi semasa pasukan bola sepak pelapis negara ini.
Terbaharu, skuad kendalian Brad Maloney pada Rabu mencatatkan kekalahan buat kali ketiga dalam Piala Asia ketika bertemu Vietnam di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan.
Mujur kekalahan itu dapat dilindungi dengan kemenangan skuad Harimau Malaya. Jika tidak, pasti berbakul komen mengecam prestasi pemain dan kemampuan jurulatih, Maloney.
Kesebelasan utama Harimau Muda yang beraksi menentang Vietnam pada Rabu. — Facebook/FAM
Namun, menjengah ke ruangan komen di Facebook, rata-rata warganet mengatakan yang Maloney sepatutnya dipecat lebih awal dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertindak segera.
Seorang warganet, Muhammad Ruzaini Safawi berkata, dia berharap FAM nampak perubahan permainan yang dilakukan dalam skuad senior.
"Apa yang terbaik ialah menukar jurulatih dan pegawainya. Cari jurulatih yang mempunyai falsafah sama dengan skuad senior.
"Kita bukan tiada pemain yang bagus, cuma jurulatih sahaja yang ketandusan idea. Contoh senang tengok skuad Harimau Malaya. Pemain yang sama pada zaman Tan Cheng Hoe tetapi mampu memberi impak di bawah kendalian Kim Pan-gon," katanya.
Brad Maloney dilihat gagal memberi impak terhadap prestasi skuad Harimau Muda. — Facebook/FAM
Seorang lagi warganet, Ezra Alvin berkata, apa yang berlaku terhadap Harimau Muda ibarat satu jentikan kepada FAM untuk segera bertindak menukar jurulatih.
"FAM ni lambat buat kerja, nak kena tunggu laporan dulu baru boleh bertindak sedangkan keputusan segera perlu dibuat selepas apa yang terjadi pada Harimau Muda di Sukan Sea Vietnam.
"Nasib FAM ini bukan bomba, kalau tidak, rumah dah rentung baru nak buat mesyuarat untuk siasat apa tindakan yang sesuai," katanya.
Terdahulu, skuad Harimau Muda yang tersingkir daripada Piala Asia mengakhiri aksi terakhir mereka dengan kekalahan 0-2 ke atas Vietnam.
Sebahagian daripada aksi dalam pertemuan antara Harimau Muda dan Vietnam. — Facebook/FAM
Vietnam berada di depan pada minit ke-28 hasil jaringan Nham Manh Dung yang menanduk masuk bola hantaran lintang Nguyen Thanh Nhan.
Malang bagi skuad Harimau Muda apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hairiey Hakim dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak pertama.
Peluang itu digunakan Vietnam yang juga naib juara 2018 untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan lebih selesa apabila Bui Hoang Viet Anh meledak gol kedua pada masa kecederaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram