SEORANG warga emas wanita maut selepas tidak sempat menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran rumah kedai di Jalan Kasturi, Jonker Walk di Melaka, pada Selasa malam.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, mangsa Koo Kim Foong, 75, yang berada seorang diri di rumah sewa sebelum kejadian disedari anak lelaki mangsa.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, mangsa maut dipercayai melecur tahap dua kira-kira 60 peratus.
Bagaimanapun, anak lelaki mangsa yang menyedari kejadian itu gagal menyelamatkan mangsa disebabkan api marak.
"Mangsa ditemui di tingkat atas rumah kedai dua tingkat dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan melecur di bahagian paha dan perut sebelum disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi di Melaka pada Rabu.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan AwamJabatan (JBPM) negeri, Mohd Hafifi Roslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9.37 malam dan dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah serta BBP Padang Temu diaktifkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran dapat dikawal pukul 11.20 malam sebelum operasi tamat pukul 11.27 malam.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis manakala punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram