Sibu, Mukah, Sri Aman dan Kuching dijangka berdepan kebakaran hutan


  • 112
  • Jumaat, 03 Jun 2022

Malaysia dijangka menghadapi musim kemarau dan kering yang membawa kepada krisis air serta kebakaran sehingga menyumbang kepada bencana jerebu serta kebakaran hutan, belukar, tempat pelupusan sampah, tanah gambut. — Sinar Harian

BEBERAPA kawasan di Sibu, Mukah, Sri Aman dan kawasan terpencil di Kuching, Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan panas bagi kebakaran hutan dan tanah gambut yang dijangka berlaku akibat kepanasan melampau susulan peralihan monsun barat daya bermula Mei hingga Oktober 2022.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini, jumlah tenaga kerja di Sarawak bagi mendepani kebakaran akibat cuaca panas dan kekeringan serta kemarau itu adalah mencukupi.

"Di Sarawak ini kita kenal pasti beberapa hotspot seperti di Sibu, Mukah, Sri Aman dan beberapa tempat yang terpencil di Kuching jadi kita telah menyediakan barisan hadapan dengan kelengkapan aset, salah satunya peralatan pemadaman pembakaran hutan dan tanah gambut.

"Anggota sedia ada kita guna, tapi sekiranya ada keperluan yang mendesak, kita akan buat perancangan untuk hantar bantuan dari negeri terdekat iaitu Sabah dan Labuan atau Semenanjung, sekiranya perlu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Majlis Kesiapsiagaan Bagi Menghadapi Peralihan Monsun Barat Daya pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Datuk Khirudin Drahman.

Mohammad Hamdan berkata, bermula Mei hingga September ini, Malaysia dijangka menghadapi musim kemarau dan kering yang membawa kepada krisis air serta kebakaran sehingga menyumbang kepada bencana jerebu serta kebakaran hutan, belukar, tempat pelupusan sampah, tanah gambut.

Berdasarkan statistik JBPM Sarawak, seramai 1,344 anggotanya dikerahkan di tujuh zon negeri iaitu 287 di Kuching, 127 di Bintulu, Miri (186), Sibu (389), Sri Aman (113), Samarahan (178) dan Limbang (64) sebagai kesiapsiagaan cuaca panas dan kering serta kemarau.

Mengulas mengenai persediaan aset, Mohammad Hamdan berkata, persiapan 90 peratus telah tercapai terutamanya bagi alat pemadaman kebakaran hutan dan kebakaran tanah gambut.

Beliau turut berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan di peringkat negeri memandangkan kerajaan negeri turut membantu dari segi penguatkuasaan dengan memantau kawasan berpotensi untuk berlakunya kebakaran menggunakan teknologi dron.

"Saya difahamkan Kerajaan Sarawak turut membantu dari segi penguatkuasaan menggunakan dron siang dan malam (Infrared) untuk mengesan apa-apa kebakaran pembakaran terbuka dilakukan oleh individu.

"Kita juga sering melakukan advokasi kepada masyarakat tempatan supaya mengelakkan kebakaran terbuka dan sekiranya perlu dilakukan mereka harus mendapat kebenaran daripada agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram