Langkah atasi banjir kilat di JB giat dilakukan


  • Primer
  • Isnin, 06 Jun 2022

Antara laluan yang terkesan dengan banjir kilat selepas 10 minit dilanda hujan pada 25 Mei lalu.

MAJLIS Bandaraya Johor Baru (MBJB) akan menaik taraf kemudahan dan saliran di beberapa lokasi dilanda banjir sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan risiko banjir kilat

Datuk Bandarnya, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, hujan sebanyak 86 milimeter (mm) dan 72mm direkodkan masing-masing pada 24 Mei dan 25 Mei.

Ini menyebabkan kawasan seperti Taman Larkin Idaman, Kampung Melayu Majidee, Jalan Mahmoodiah, Stulang, Jalan Dato Sulaiman, Taman Sentosa dan Taman Seri Tebrau cenderung mengalami banjir kilat.

"Banjir kilat di Plot A rumah pangsa Taman Larkin Idaman berpunca daripada pembentung silang sedang dibina oleh kontraktor projek landasan berkembar yang masih dijalankan di sana.

"Ini menyebabkan pengaliran air tidak betul hingga mengakibatkan hakisan tanah kerana takungan air sementara tidak dapat menampung air yang banyak.

"Lawatan tapak bersama beberapa agensi kerajaan pada keesokan harinya mengenal pasti masalah itu.

"Kami telah memberitahu kontraktor untuk membaiki saluran masuk dan keluar ke takungan air sementara bagi memastikan aliran air lebih lancar dan mengambil langkah untuk mengelakkan hakisan tanah," katanya.

Mohd Noorazam juga mengarahkan perangkap sistem saliran air di dalam tanah yang menerima air kumbahan, diperbaiki kerana air dari permukaan jalan tidak mengalir ke longkang dengan betul.

MBJB turut mencadangkan dua unit pam di Jalan Keris 2, Taman Seri Tebrau dinaik taraf kerana ia tidak lagi dapat menampung isipadu air yang besar ketika hujan lebat.

"Banjir kilat baru-baru ini berpunca daripada ini, ditambah dengan paras air yang tinggi di Sungai Sengkuang jadi kita perlu melihat semula pembinaan penghadang perlindungan banjir di Jalan Kasa.

"Kami memerlukan kerjasama semua orang termasuk pemaju kerana terdapat banyak projek dalam perancangan seperti Sistem Transit Rapid dan Transit Aliran Bas, Johor Baru,” kata Mohd Noorazam.

Terdahulu, banjir berlaku dalam tempoh 10 minit selepas hujan lebat pada 25 Mei lalu kira-kira pukul 2.15 petang hingga menjejaskan Jalan Tebrau, Jalan Serampang dan Jalan Tun Abdul Razak.

Malah seorang anggota polis terpaksa menutup laluan kenderaan ke Jalan Tun Abdul Razak berikutan air banjir yang semakin meningkat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram