'Pau Marti ganti Maloney? Rombak sekali FAM'


  • Podium
  • Selasa, 07 Jun 2022

Pau Marti Vicente (kiri) antara yang disebut sebagai pengganti Brad Maloney.

TERSINGKIRNYA skuad Harimau Malaya daripada Piala Asia Bawah 23 (B23) menyaksikan banyak persoalan yang bermain dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Antaranya adalah kedudukan Ketua Jurulatih, Brad Maloney yang masih mempunyai kontrak sehingga Disember 2023.

Terdahulu, Maloney memberitahu dia perlu berbincang mengenai kedudukannya bersama pihak pengurusan selepas pulang daripada Piala Asia.

Namun, belum menjejak kaki ke tanah air lagi, sudah muncul desas desus yang mengatakan bahawa pengendali dari Australia itu akan diganti.

Difahamkan, bekas penolong jurulatih skuad Barcelona Bawah 18 (B18), Pau Marti Vicente yang disebut sebagai pengganti Maloney.

285618644_711689429904296_2182703109023770988_n

Brad Maloney bersama seorang pemain Harimau Muda, Luqman Hakim. — Facebook/FAM

Untuk rekod, Pau Marti kini merupakan pembantu kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak terutamanya di peringkat muda.

Di Hong Kong, Pau Marti pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat kelab dan kebangsaan.

Tiba di Hong Kong dengan reputasi sebagai Pengarah Teknikal dan Pengurusan Sukan Sekolah Sukan Barcelona (Escola), dia kemudiannya diberikan kepercayaan untuk mengendalikan skuad remaja (feeder club) Kitchee FC pada 2011.

Pau Marti juga pernah mengendalikan skuad B13 Hong Kong, sebelum diberikan tanggungjawab sebagai pembantu dan penganalisis perlawanan pada November 2012 ketika Pan-gon buat kali pertama dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong.

Rombak FAM

Sementara itu, beberapa penyokong menyatakan bukan jurulatih sahaja yang perlu ditukar, tetapi perubahan juga perlu dibuat termasuk melihatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

286312044_713045589768680_6721830926661873288_n (1)

Aksi skuad negara ketika tewas kepada Thailand baru-baru ini mendapat kritikan penyokong. — Facebook/FAM

Penyokong bola sepak tempatan, Huzir Hussain berkata, pertukaran jurulatih ibarat satu harapan baharu untuk skuad Harimau Muda.

"Tukar jurulatih, ajar pemain asas bola sepak balik. Ini pemain main tak tentu arah. (Lionel) Messi latih skuad ini pun boleh lingkup sebab rata-rata pemain tidak ada asas bola sepak, kerjasama lingkup, visi main bola sepak pun lingkup," kata Maki Jan.

Sementara itu, Alvin Yap pula berkata, FAM sepatutnya diterajui oleh bekas pemain seperti Shukor Adan atau individu yang menjiwai bola sepak.

"Bukan orang jadi pak turut sahaja, yang tidak ada letak apa-apa penanda aras dan tiada matlamat jangka pendek serta panjang untuk majukan bola sepak negara," katanya.

Desakan terhadap rombakan FAM bukan kali pertama disuarakan penyokong.

Tahun lalu, penyokong menggesa agar FAM dirombak susulan kegagalan Malaysia dalam kempen Piala Suzuki AFF yang menyaksikan Ketua Jurulatih ketika itu, Tan Cheng Hoe meletak jawatan bagi mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan memalukan itu.

Rata-rata penyokong mahu badan induk bola sepak negara itu diterajui oleh individu yang berpengalaman luas dalam bidang bola sepak selain tidak terikat dengan politik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram