PASTI seorang umat Islam pernah mendengar mengenai peristiwa Israk Mikraj yang mana pada ketika itu ALLAH SWT membawa Nabi Muhammad SAW dari Masjid Al Haram ke Masjid Masjid al-Aqsa kemudian naik ke langit ke Sidratul Muntaha, menjelajahi tujuh lapisan langit.
Banyak pengajaran yang diceritakan menerusi perjalanan Isra Mikraj itu dan salah satu peristiwa yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah suasana dalam neraka.
Nabi Muhammad SAW memberitahu sewaktu melihat suasana neraka, majoriti penghuninya terdiri daripada golongan wanita dan ia ada diriwayatkan dalam sebuah hadis.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” — [Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim]
Islam melarang seorang isteri menyakiti suaminya.
Membincangkan mengenai mengapa golongan perempuan lebih banyak di neraka, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, sebab utamanya adalah kerana wanita yang juga seorang isteri sering kufur dengan suami mereka.
"Nabi tanya malaikat Jibril kenapa ramai perempuan masuk neraka. Malaikat Jibril menjawab soalan itu dengan memberitahu kerana mereka kufur pada suami. Kufur bermaksud mereka tidak bersyukur dengan suami mereka.
"Suami dah beli beg, isteri tanya kenapa tak beli kasut. Sudah beli itu, tanya pula kenapa tak beli ini. Semua itu tidak bersyukur," katanya pada sebuah ceramah di Masjid Kampung Semayor, Kemasik, Kemaman, Terengganu baru-baru ini.
Azhar Idrus turut menerangkan antara faktor lain golongan wanita ramai masuk neraka ialah sering melawan cakap, derhaka dan keluar perkataan sehingga menyakitkan hati para suami.
Meskipun ketika peristiwa Isra Mikraj mempertontonkan ramai golongan wanita dalam neraka namun kelompok lelaki jangan cepat bergembira dengan kenyataan itu kerana terdapat beberapa faktor lain mendorong kepada kaum Adam tidak masuk syurga.
"Jangan pula salah faham orang lelaki banyak masuk syurga. Tidak kerana ramai juga lelaki masuk neraka kerana dosa-dosa yang dibuatnya. Adapun dosa-dosa rumah tangga, ramai perempuan yang masuk neraka dari lelaki. Ada pun lelaki masuk neraka ramai dari perempuan kerana dosa-dosa di luar rumah.
"Kalau menghisap dadah, ramai lelaki ke perempuan. Lelaki kan. Rempit lelaki, pecah rumah banyak lelaki. Bunuh orang lelaki banyak.
Dari penerangan Azhar Idrus menjelaskan bahawa perempuan akan senang berbuat dosa dalam bab rumah tangga namun tidak bermakna susah untuk mencapai syurga kerana terdapat hadis Nabi SAW menerangkan empat ciri wanita solehah.
Daripada Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang wanita (isteri) itu melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga harga dirinya, dan mentaati perintah suaminya, maka di akhirat kelak, dia dipanggil untuk masuk ke syurga daripada mana-mana pintu yang dia sukai (sesuai dengan pilihannya)” — [Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad] — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram