PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan bekerja di bawah pakatan pembangkang besar bersama Pakatan Harapan (PH), sekiranya ia dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kedua-dua Presiden PKR dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebagai pemimpin yang mempunyai agenda peribadi dan 'tidak lurus' (tidak jujur).
Namun, ketika ditanya sebab beliau menganggap kedua-duanya sedemikian, jawapan Dr Mahathir hanya tertumpu kepada Anwar.
Dr Mahathir berkata, Anwar tidak mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri, namun beliau berulang kali mendakwa sebaliknya kerana mahu menggalas jawatan tersebut.
"Ia tidak pernah berlaku. Dia tidak mendapat sokongan (yang diperlukan), kata bekas Perdana Menteri itu seperti dipetik media tempatan.
Dr Mahathir berkata, beliau bersedia mempertimbangkan idea 'khemah besar' untuk menyatukan semua parti pembangkang ketika Pilihan Raya Umum akan datang kerana ia adalah satu-satunya cara untuk menewaskan Barisan Nasional (BN).
"Ya, kalau boleh, perlu ada 'khemah besar' memandangkan negara sedang mengalami banyak masalah. Tetapi, kita perlu mencari seseorang yang setia.
"Kita kena cari orang yang 'lurus' (jujur). Kita tidak boleh masukkan mereka yang berpolitik semata-mata untuk wang. Saya minta maaf," katanya.
Katanya, beliau masih akan menjadi Perdana Menteri pada ketika ini jika bukan disebabkan kemahuan Anwar sendiri untuk menyandang jawatan tertinggi tersebut pada 2020. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram