KEPULANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke tanah air selepas pulang dari lawatan kerja di Amerika Syarikat (AS) disambut meriah setibanya di Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Bagaimanapun, ada pihak yang mengecam sambutan yang dilakukan oleh sekumpulan individu termasuk daripada kepimpinan Umno, para mahasiswa dan belia.
Malah, ada di antara mereka yang menyatakan bahawa tidak perlu untuk diadakan sambutan yang meriah buat lawatan yang hanya selama empat hari.
Perkara itu disuarakan oleh Amzatul Akmam Bin Mokhtar menerusi satu komen di ruangan Twitter oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ketari, Pahang, Young Syefura Othman.
Young Syefura dalam ciapan beliau seolah terkejut dengan sambutan tersebut dan menulis ringkas, "Astaghfirullah.......siap ada ultras."
Kata Amzatul Akmam, seharusnya tidak perlu dilakukan sambutan seumpama itu yang mana ia dilihat 'pelik'.
"Pada saya tidak perlu sambutan beriya seperti itu, nampak pelik pula, sekadar pergi lawatan kerja empat hari," katanya.
Sementara itu, Asmah Laili pula menyifatkan sambutan yang dilakukan seolah-olah Perdana Menteri pulang dari berperang.
Katanya, sepatutnya sambutan seumpama itu perlu dilakukan buat pejuang negara yang pulang ke tanah air.
"Sambutan macam Perdana Menteri pergi berperang sahaja, sepatutnya pahlawan pulang dari menjalankan tugas demi negara.
"Perdana Menteri pulang ini sudah biasa," ujarnya.
Pemilik akaun, MO LEH pula mengatakan golongan penyokong yang juga dipanggil 'ultras' itu merupakan penyokong anaknya, Dafi semasa dia menertai sebuah program realiti, Akademi Fantasia (AF).
"Itu ultras ketika Dafi masuk AF lagi rasanya, ini kira seperti pertemuan semula (reunion)," komennya.
Terdahulu, Ismail Sabri mengadakan lawatan kerja ke Washington D.C., AS bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat.
Beliau turut menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya Keluarga Malaysia di sebuah hotel di sana pada hari Rabu (Khamis di Malaysia).
Bekata kepada media, Ismail Sabri juga menyifatkan bahawa lawatan kerja empat harinya ke AS sebagai satu kejayaan dan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS, dan juga Asean-AS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram