Pejuang desak Idrus Harun jelaskan terma penyelesaian kes saman Apandi Ali


  • Politik
  • Selasa, 10 Mei 2022

Sebelum ini media melaporkan, plaintif iaitu Apandi Ali menarik balik tindakan undang-undangnya berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara.

PENYELESAIAN yang dijelaskan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun adalah dilakukan tanpa dirujuk terma tersebut kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai salah satu anak guam kepada Jabatan Peguam Negara, tegas Akif Rusli.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda Malaysia itu berkata, terma penyelesaian itu juga melibatkan satu pemberian wang yang besar jumlahnya kepada Mohamed Apandi Ali.

"Pada peringkat awalnya, nasihat guaman yang diberikan semasa pemberhentian kontrak Apandi Ali dan sebelum penyelesaian kes saman ini, tidak ada satu pun tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

"Rakyat berhak untuk tahu berapa jumlah penyelesaian dan mengapa Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membuat bayaran tersebut. Wang itu milik rakyat. Adakah kerana Apandi Ali mempunyai kaitan dengan Umno sebelum daripada ini?

"Begitu mudah penyelesaian yang diterima oleh seorang mantan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa. Penyelesaian ini dilakukan tanpa sebarang pengakuan liabiliti. Apa maksudnya? Tidak ada pengakuan salah dari pihak yang disaman iaitu Kerajaan Malaysia dan Dr. Mahathir Mohamad," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Akif mendakwa, segala terma dari penyelesaian berkenaan dirahsiakan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan tidak direkodkan dalam Perintah Penyelesaian Persetujuan itu, yang mana lagi mengukuhkan ia dibuat atas arahan individu tertentu.

Baginya, pemberhentian Apandi Ali amat berbeza dengan pemecatan peguam negara sebelum ini, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana beliau dipecat dalam keadaan tergesa-gesa seakan mempunyai niat unyuk memberhentikannya.

"Dalam tempoh satu hari, pemecatan itu dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa. Lebih-lebih lagi ketika beliau sedang meneliti kertas siasatan kes 1MDB yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

"Hubungan Apandi Ali dengan Umno tidak berakhir dengan peletakan jawatan dia pada tahun 1991. Ini kerana tularnya video dia menari bergembira bersama pemimpin Umno semasa sedang menjawat jawatan Peguam Negara," ujarnya.

Dakwanya, Apandi Ali merupakan individu yang memberi arahan untuk menutup ketiga-tiga kertas siasatan berhubung dua kes siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terkait SRC International dan dana 2.6 bilion.

Akif menjelaskan, keadaan lebih melihatkan Apandi Ali mempunyai kaitan dengan Umno apabila dilantik kembali menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 14 Julai 2018 bagi penggal 2018-2021.

"Adakah ini bukan konflik berkepentingan? Adakah pemberhentian Apandi Ali yang dibuat terdahulu salah? Bagaimana mungkin Peguam Negara pada ketika itu akan berlaku adil dalam menasihati Kerajaan Malaysia pada masa itu? Ini jelas wujud konflik berkepentingan.

"Adakah penyelesaian itu semata-mata dilakukan demi memberi manfaat kepada kroni Umno? Ini bukanlah gambaran yang cantik bagi konsep Keluarga Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Peguam Negara wajib perjelaskan keadaan kepada rakyat," tegasnya.

Pada Sabtu, Idrus memaklumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai terma penyelesaian berkaitan saman yang difailkan Mohamed Apandi Ali terhadapnya dan kerajaan Malaysia.

Katanya, berikutan penyelesaian itu, plaintif iaitu Apandi Ali menarik balik tindakan undang-undangnya berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram