SEBUAH video tular merakamkan suasana tegang di dalam kabin penerbangan Garuda Indonesia GA 608 iaitu penerbangan Makassar ke Palu, Indonesia.
Pesawat itu dilaporkan mengalami pergolakan yang agak berbahaya pada Ahad sehingga terdengar jeritan penumpang sambil diiringi kalimah 'Allahuakbar' dalam video berdurasi 55 saat itu.
Dalam penerangan video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Instagram @fact.indo menyatakan pada 29 Mei 2022, pesawat GA 608 dari Makassar, Sulawesi Selatan terbang ke Palu, Sulawesi Tengah pada jam 2.45 petang pada Selasa.
"Penerbangan kedua Garuda Indonesia ke Palu dilanda puting beliung, suasana dalam kabin tegang. Pesawat Garuda Indonesia di laluan Makassar-Palu mengalami gelora," tulis akaun itu.
Pesawat itu hendak mendarat di Lapangan Terbang Mutiara Sis Aljufri, Palu namun apabila tayar pesawat hampir mencecah landasan, juruterbang tiba-tiba memutuskan untuk membatalkan pendaratan.
Pesawat kemudian naik semula dan membelok ke kanan yang kemudian mengalami pergolakan sehingga membuatkan penumpang menangis serta menjerit ketakutan.
Dalam video tular itu, dilihat ramai netizen menunaikan solat hajat di dalam pesawat.
Hasil siasatan mendapati pesawat itu gagal mendarat akibat ribut taufan.
Pesawat berjaya mendarat pada pukul 4.10 petang waktu Malaysia dengan selamat walaupun terpaksa ditangguhkan 20 minit kerana insiden berkenaan.
Video itu kemudiannya menerima banyak komen netizen yang kebanyakannya memuji kecekapan juruterbang dalam mendarat dengan selamat tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada para penumpang dan pesawat.
Dalam pada itu, menjawab video tular berkenaan, Presiden Pengarah Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra mengesahkan kejadian itu dan beliau berkata itu adalah perkara biasa dalam penerbangan.
Jelasnya, seorang juruterbang ketika kejadian memutuskan untuk terbang kembali tetapi pada ketika itu pesawat sebenarnya sedang mengalami pergolakan.
Bagaimanapun, beliau belum menjelaskan dengan jelas mengenai insiden yang melanda pesawat itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram