Alasan mahu jumpa orang atasan, lelaki ditahan menyamar Kolonel ATM


  • 112
  • Rabu, 01 Jun 2022

Pakaian seragam tentera yang dirampas. — PDRM

SEORANG lelaki yang diburu polis sejak 2018 selepas disyaki terbabit menyamar sebagai tentera dan menceroboh sebuah kem tentera darat di Tampin berjaya ditahan di sebuah rumah, di Perumahan Rakyat Kampung Sungai Layang, Rembau, Negeri Sembilan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tampin dalam serbuan pukul 5.50 petang.

"Polis telah ke rumah suspek dan menahannya untuk siasatan lanjut.

"Selain itu turut dirampas pakaian seragam tentera beserta aksesori tentera yang disyaki dimiliki suspek termasuk pistol tiruan, sarung tangan dan satu beg berlogo polis berisi gari," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku terbabit dalam kes menyamar sebagai pegawai tentera berpakaian uniform Pasukan Gerakan Khas berpangkat Kolonel Angkatan Tentera (ATM).

Media pada tahun 2018 melaporkan, polis memburu seorang lelaki bagi mengenal pasti motif suspek menceroboh kem berkenaan, untuk berjumpa dengan Kompeni Sarjan Mejar dan Penolong Pegawai Pemerintah.

Petugas di kem berkenaan cuba meminta suspek menunjukkan identiti, namun lelaki terbabit gagal berbuat demikian sebelum melarikan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram