Geng edar dadah maut jatuh bangunan selepas gaduh di JB


  • 112
  • Isnin, 30 Mei 2022

Punca kejadian berlaku disebabkan masalah hutang dadah jenis syabu membabitkan mangsa. — Gambar hiasan

SEORANG ahli sindiket pengedaran dadah maut selepas bergaduh dengan ahli sindiket yang lain, sebelum terjatuh dari aras dua sebuah apartment di Jalan Masai Jaya 2 di Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Ketua Polis, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian tersebut dilaporkan orang awam selepas melihat mangsa yang berusia 23 tahun itu jatuh dari balkoni apartment itu pada pukul 12.45 tengah malam.

"Siasatan lanjut di tempat kejadian bersama unit forensik dari D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor mendapati terdapat kesan pergelutan.

"Pemeriksaan ke atas badan mangsa didapati ada kecederaan dan pendarahan di bahagian belakang kepala. Kita percaya terdapat unsur jenayah yang menyebabkan mangsa jatuh di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Majlis Sambutan Hari Raya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru pada Isnin.

Katanya, susulan itu, pasukan polis dari D9 JSJ Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam menangkap tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Menurut beliau, semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 33 tahun ditahan di kawasan sekitar Desa Jaya, di Johor Bahru.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian berlaku disebabkan masalah hutang dadah jenis syabu membabitkan mangsa.

"Rentetan daripada tangkapan ini, polis kontinjen Johor telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam," ujarnya.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tujuan bedah siasat.

Kamarul Zaman berkata, semakan rekod lampau mendapati, kesemua tangkapan mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

Kesemua tangkapan katanya, akan ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin sehingga 5 Jun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan.

"Polis Johor menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan ini agar menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Nik Samsuriah Daud (013-7272120) atau mana-mana balai polis yang terdekat," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sindiket, edar dadah, maut, jatuh bangunan