Mentega kacang Jif dicemari Salmonella, penjualannya dihenti serta merta


  • Primer
  • Isnin, 30 Mei 2022

Pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga digit terakhir 425 diminta untuk tidak memakan produk tersebut. — Sinar Harian

PRODUK mentega kacang berjenama Jif dihentikan penjualannya di negara ini serta-merta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan notifikasi daripada Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) mendapati produk berkenaan tercemar dengan bakteria Salmonella.

"Produk berkenaan adalah membabitkan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga digit terakhir 425," katanya.

Menurutnya, produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan Malaysia.

"Pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meminta pengimport turut menarik balik produk yang terlibat di pasaran.

"Selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk terlibat memasuki negara ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses.

"Ia boleh berlaku jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna," katanya.

Ujarnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook BKKM," katanya.

Sebelum ini, USFDA telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif dengan nombor batch tersebut ditarik balik kerana telah tercemar dengan bakteria Salmonella. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram