KPM teliti isu guru warden asrama termasuk kenaikan elaun


  • Primer
  • Ahad, 29 Mei 2022

Radzi (kiri) beramah mesra bersama dengan kanak-kanak di Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dan Hari Terbuka KPM 2022 di Putrajaya pada Ahad. — Bernama

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang meneliti isu berkaitan guru warden asrama dalam usaha menambah baik perjawatan itu termasuk keperluan menaikkan elaun.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya sedar isu berkaitan guru warden asrama sudah berlarutan sekian lama.

"Kita tahu warden di luar sana tertanya-tanya apakah pendekatan yang akan diambil oleh kementerian dan seperti mana saya sebut sebelum ini bahawa kita melihat perkara ini secara menyeluruh, kita ingin selesaikan perkara ini buat selama-lamanya, namun begitu ada kekangan-kekangan tertentu yang sedang kita selesaikan.

"Kita sedar warden ni antara cabaran mereka apabila dia jadi warden dia akan rugi maknanya dari segi elaun, baik dia tak perlu jadi warden. Ini perkara kita sedang usahakan," katanya.

Terdahulu, ada pihak yang menggesa KPM untuk mengkaji elaun guru warden asrama yang didakwa terlalu rendah iaitu RM240 sebulan yang dilihat tidak setimpal kerana mereka terpaksa bertugas sehingga 24 jam sehari.

"Ini perkara (elaun) kita sedang usahakan, maknanya kalau dia tidak jadi warden, elaun dia lagi bagus dari dia jadi warden, bila jadi warden elaun bukan sekadar sikit tetapi kena potong pula.

Jadi perkara ini perkara-perkara teknikal yang kita perlu bincang dengan agensi pusat dan kita sedang selesaikan, ini ambil sedikit masa. Tapi komitmen, kita sedar ada isunya dan kita sedang cuba selesaikan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram