
KEPUTUSAN ahli Parlimen, Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Perkara itu disuarakan Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil. yang turut menyatakan bahawa beliau percaya ahli parti tidak akan terpengaruh untuk menyertai PBM.
"Prestasi PBM dalam pilihan raya negeri Johor baru-baru ini tidak meyakinkan. Mereka agak tidak dikenali, malah ketika ahli Parlimen Tebrau bertanding menggunakan tiket PBM pun, sambutan tidak baik," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran PKR Lembah Pantai pada Ahad.
Semasa pilihan raya Johor baru-baru ini, bekas ahli PKR, Steven Choong bertanding di bawah tiket PBM, tetapi tewas dalam perebutan kerusi DUN Puteri Wangsa.
Choong hanya berjaya mendapat 2,471 undi (4.67 peratus). Parti itu juga kehilangan deposit di baki tiga kerusi yang ditandinginya.
"Kalau kata ada yang nak lompat, saya rasa semuanya melompat semasa gerakan Sheraton. Di Lembah Pantai, mereka yang melompat keluar parti sebelum ini telah memohon untuk menyertai semula PKR," tambah ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah untuk pemilihan PKR, Fahmi berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada isu itu.
Fahmi yang bertanding jawatan naib presiden menambah bahawa parti itu akan meneliti perkara tersebut secara terperinci untuk menentukan cara menambah baik penyertaan dalam pemilihan parti.
Pemilihan parti yang berlangsung dari 13 Mei hingga 22 Mei 2022 dicemari masalah teknikal yang mengganggu pengundian di beberapa bahagian hujung minggu lalu serta dakwaan pengundi hantu.
Ia juga menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah, dengan kurang daripada 13 peratus daripada 1.1 juta ahli parti itu keluar mengundi secara peribadi atau melakukannya dalam talian.— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram