"MACAM mana awak boleh bunuh anak saya seperti itu?"
Ini adalah kata-kata Triesa Van Wyk, ibu mangsa pembunuhan tragis, Jerobejin Van Wyk, kepada pembunuh anaknya di Klawer, di Western Cape, Afrika Selatan pada Selasa.
Semasa di mahkamah, ibu mangsa pada awalnya hanya duduk diam dan dengan penuh perhatian mendengar prosiding Daniel Smit yang dituduh membunuh remaja berusia 13 tahun itu pada Februari lalu.
Ketika Smit meninggalkan kandang tertuduh di mahkamah majistret Klawer ke sel tahanan, Triesa tiba-tiba membaling botol air ke arah lelaki berkenaan.
Bercakap dalam bahasa Afrikaans, dia memanggil Smit "gemor" (sampah).
Terdahulu, dia mendengar butiran mengerikan tentang bagaimana anak bongsunya dibunuh.
Peguam Smit, Santie Human, membaca kenyataan yang ditulis oleh ahli psikologi, CWA Van Zyl, yang telah menghabiskan masa dengan Smit.
Lelaki berusia 56 tahun itu masih belum diminta membuat pengakuan terhadap tuduhan termasuk pembunuhan dan penculikan.
Menurut kenyataan itu, Smit mengejar Jerobejin semasa memandu kenderaan pacuan empat roda sebelum menyerangnya hingga tidak sedarkan diri dan kemudian membawa mangsa ke rumahnya di Klawer di mana dia memberinya roti dan minuman sejuk.
Smit memberitahu Van Zyl bahawa dia membunuh Jerobejin dengan mematahkan lehernya dan memasukkan mayatnya ke dalam peti sejuk.
Kejadian berlaku semasa anak perempuan Smit berada di dalam rumah, kata Van Zyl, tetapi kanak-kanak itu tidak menyaksikan pembunuhan itu.
Selepas anak perempuannya tidur, Smit membakar mayat Jerobejin di pendiang api rumahnya, kata Van Zyl.
Untuk bahagian yang tidak musnah terbakar, Smit meletakkannya di tangki najis dan anggota badan mangsa itu kemudiannya ditemukan oleh pekerja perbandaran.
Laporan Van Zyl menggambarkan Smit sebagai seorang yang suka menyendiri dan sentiasa mencurigai motif orang lain serta seorang yang naif
Smit juga memberitahu ahli psikologi apabila dia berasa marah, kepalanya akan sakit dan mengalami keinginan yang tidak terkawal untuk bertindak di luar batasan.
Dia mengalami "keadaan seperti berkhayal dan pergi ke dimensi yang berbeza", kata Van Zyl.
Pendakwa raya Dale Andrews memberitahu mahkamah, Smit akan kekal dalam tahanan di penjara Van Rhynsdorp sementara dia menunggu slot di Hospital Psikiatri Valkenberg di Cape Town, di mana dia akan menjalani penilaian selama 30 hari.
Kes itu ditangguhkan hingga 27 Jun 2022 tetapi Smit dijangka kembali ke mahkamah pada 23 Mei 2022 untuk mendengar maklum balas tentang kekosongan rawatan di Valkenberg. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram