Pesakit mati, disaman akibat cuai antara punca doktor pelatih tertekan


  • Primer
  • Selasa, 10 Mei 2022

Doktor mungkin berasa gagal apabila pesakit di bawah jagaan meninggal dunia walaupun telah mencuba yang terbaik.

SEBANYAK 88.5 peratus doktor pelatih di Pulau Pinang menilai tahap tekanan mereka berada antara skala tiga dan lima ketika menjalankan tugas di tempat kerja mereka.

Lebih mengejutkan, 15.4 peratus daripada jumlah itu menilai tahap tekanan mereka pada skala maksimum iaitu lima.

Peratusan itu diperoleh hasil daripada tinjauan yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pekerjaan profesional perubatan meletakkan seseorang itu dalam kedudukan unik yang mudah terdedah kepada tekanan kerana mereka berada di bawah tekanan yang berterusan dengan rasa tanggungjawab untuk menjaga nyawa orang lain.

"Mereka mungkin berasa gagal apabila pesakit di bawah jagaan meninggal dunia walaupun telah mencuba yang terbaik. Bukan nyawa sahaja yang terkorban tetapi keperitan melihat keputusan ahli keluarga arwah yang kehilangan orang tersayang.

"Selain itu, faktor yang menyebabkan tekanan dan menyedihkan adalah seorang doktor mungkin disaman kerana kecuaian perubatan dan itu mungkin menamatkan kerjaya profesionalnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohideen menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera mengambil tindakan terhadap gejala buli yang didakwa sering berlaku dalam kalangan doktor terutamanya doktor pelatih di negara ini.

Katanya, siasatan secara menyeluruh harus segera dibuat dan bukannya mula menyiasat setelah berlaku sesuatu kes.

Menurutnya, siasatan tersebut harus menyeluruh ke seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Pulau Pinang sahaja.

Kata beliau, siasatan juga perlu melibatkan golongan profesional penjagaan kesihatan lain seperti jururawat kerana mereka juga berada dalam persekitaran kerja dan sistem yang sama.

"Isu ini sangat membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan. Walaupun persekitaran kerja yang buruk dari segi psikologi profesional penjagaan kesihatan banyak ditonjolkan, siasatan kes bunuh diri doktor pelatih ini harus dibuat secara menyeluruh.

"Ini kerana, kes buli terhadap pelatih dan kakitangan perubatan yang lebih muda (junior) tidak boleh dikendalikan secara sedikit demi sedikit atau mengambil tindakan hanya apabila timbul masalah," katanya.

Kata Mohideen, CAP menggesa kerajaan supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas dengan perwakilan daripada doktor, jururawat, dan masyarakat awam untuk menyiasat dakwaan layanan buruk terhadap doktor pelatih, beban kerja dan keadaan kerja mereka.

"Jawatankuasa ini perlu menerbitkan laporan dengan cadangan untuk memperbaiki keadaan kerja mereka dan memulihkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang wajar," katanya.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih HPP dilaporkan maut selepas terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu.

Difahamkan, mangsa yang berusia 25 tahun itu merupakan graduan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terjatuh dari tingkap bilik kediaman sewanya di aras 23, sebuah apartment di Jalan Dato Keramat, Georgetown, Pulau Pinang.

Sehubungan itu, polis telah merekod keterangan ahli keluarga mangsa, doktor dan rakan serumah mangsa berhubung kejadian terbabit.

Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kematian pegawai perubatan tersebut dan polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram