Misteri kematian peniaga martabak tangan terikat, leher tergantung


  • Benua
  • Isnin, 09 Mei 2022

Mangsa ditemukan mati dalam keadaan tergantung dengan tangan terikat di sebuah pondok berhampiran sawah penduduk di Kampung Langnga. — Agensi

PENJUAL martabak yang ditemukan mati tergantung dengan tangan terikat dipercayai dibunuh di Kabupaten Pinrang, Sulawesi Selatan (Sulsel) masih menjadi misteri. Setakat ini, polis masih melakukan siasatan dengan menyoal siasat beberapa saksi.

"Penyiasat sudah menyoal siasat empat orang saksi untuk mendalami kes penemuan mayat lelaki yang meninggal tergantung ini," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pinrang, Asisten Komisaris Polis, Muhalis ketika ditemui detikSulsel pada Sabtu.

“Ya, jadi empat orang ini adalah rakan mangsa, dua daripadanya ialah rakan penjual di lokasi mangsa menjalankan perniagaan,” katanya.

Muhalis berkata, pemeriksaan saksi adalah bagi merungkai penemuan mayat dengan tangan terikat. Termasuklah kedudukan kaki mangsa hampir mencecah tanah.

"(Ini) untuk memastikan sama ada mangsa bunuh diri atau ada petunjuk lain (dibunuh). Kami masih terus selidiki dengan memeriksa saksi dan petunjuk-petunjuk lain," katanya.

satreskrim-polres-pinrang-dan-inafis-polres-pinrang-kembali-menggelar-olah-tkp

Polis masih menjalankan siasatan di lokasi mayat mangsa ditemui. — Agensi

Gemparkan penduduk

Penemuan mayat tersebut pertama kali dilaporkan oleh penduduk pada hari Jumaat (6 Mei 2022) kira-kira pukul 4.30 petang di Desa Cikkuale, Desa Langnga, Kecamatan Mattirosompe, Kabupaten Pinrang. Mangsa dikenali sebagai Tomi.

"Iya, kami telah menemukan mayat dengan keadaan tangan terikat," kata Muhalis.

Mangsa ditemukan mati dalam keadaan tergantung dengan tangan terikat di sebuah pondok berhampiran sawah penduduk. Mangsa diketahui berasal dari pulau Jawa.

"Identiti mangsa adalah atas nama Tomi. Dia orang Jawa dan bekerja sebagai penjual martabak," katanya.

Selepas polis tiba di tempat kejadian, mayat mangsa terus dibawa ke Hospital Lasinrang untuk pemeriksaan lanjut bagi mendapatkan maklumat lebih lengkap termasuk memastikan punca kematian.

suasana-rumah-duka-di-kelurahan-langnga-kecamatan-mattiro-sompe

Suasana semasa majlis pengebumian arwah Tomi di Kampung Langnga. — Agensi

Vandalisme di gerai penjual martabak

Pada hari yang sama selepas penemuan mayat itu, sekumpulan perusuh kemudiannya melakukan serangan terhadap sebuah gerai peniaga di Kampung Langnga, Daerah Mattirosompe. Serangan itu dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan mangsa berkenaan.

Serangan itu juga sempat dirakam penduduk dalam video amatur sebelum tular di media sosial pada hari Jumaat. Dalam video yang tersebar itu, kelihatan sekumpulan orang berkumpul di sebuah gerai berwarna biru.

Kumpulan perusuh itu merosakkan gerai berukuran 1x1 meter menggunakan kerusi kayu manakala sebahagian penduduk juga dilihat melakukan vandalimse dengan menendang premis tersebut.

Berdasarkan maklumat yang dikumpul detikSulsel, pemilik gerai tersebut disyaki menjadi punca kematian mangsa berkenaan.

Ketua Kampung Langnga, Fahrun Affandi, mengesahkan vandalisme berlaku di kawasan itu atau lebih tepatnya di depan Pasar Pallameang.

"Ya, gerai yang dirosakkan ialah gerai penjual martabak, di sebelahnya (gerai milik) mangsa. Disyaki pemilik gerai itu meragut nyawa mangsa. Kejadian berlaku sekitar pukul 9 malam," dakwanya.

Sementara itu, portal Harian Fajar menyebut, arwah Tomi akan berkahwin dengan tunangnya pada Mei 2022. Kedua-dua belah keluarga dikatakan telah bersetuju dengan rancangan perkahwinan itu. — Agensi