Didakwa bunuh isteri sehari menjelang Aidilfitri di Kajang, bapa empat anak hanya mengangguk faham


Mohd Syawalludin dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang pada Isnin, bagi menghadapi pertuduhan kes bunuh isterinya, sehari sebelum lebaran lalu. — Sinar Harian

SEORANG bapa kepada empat anak yang bekerja sebagai mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Kajang, Selangor pada Isnin atas satu pertuduhan membunuh isterinya, sehari sebelum Aidilfitri lalu.

Mohd Syawalludin Ismail, 38, yang memakai baju kemeja hitam, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian Siti Nadirah Mohd Nazul, 28, di sebuah rumah di Taman Koperasi Maju Jaya di sini, antara pukul 12 tengah malam hingga 3.30 pagi, 1 Mei lalu.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 14 Jun depan untuk serahan dokumen.

Pada 6 Mei lalu, media melaporkan, seorang suri rumah maut dipercayai dipukul selepas mendakwa suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dalam kejadian di sebuah rumah flat di Batu 9 di Kajang, Selangor, sehari sebelum sambutan Hari Raya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Kajang kira-kira pukul 9.16 pagi berkaitan mangsa yang dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital berkenaan.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu mempunyai empat anak berusia tujuh, enam dan tiga tahun manakala bongsu berusia enam bulan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram