
TIADA sesiapa pun yang boleh terlepas daripada undang-undang jika melakukan kesalahan.
Itu yang ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Shatiri Mansor berkaitan isu seorang Datuk Seri dari Tropicana Indah, Petaling Jaya, Selangor yang ingkar terhadap arahan daripada Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ).
MBPJ sebelum ini sudah beberapa kali menghantar notis kepada Datuk Seri keranamelakukan ubah suai rumah hingga ke kawasan luar daripada yang sepatutnya.
"Apa yang dilakukan adalah salah dan pegawai saya sedang melakukan tindakan susulan berkenaan dengan perkara ini.
"Saya sendiri akan berjumpa dengan penduduk dan berhubung dengan MBPJ berkaitan perkara ini," katanya yang akan melakukan pertemuan itu dalam minggu ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, pihaknya sedang berbincang mengenai tindakan yang sepatutnya selepas ini dan usaha untuk mengembalikan kawasan itu seperti asal.
Terdahulu, pihak MBPJ dilaporkan telah hadir sebanyak tiga kali ke rumah tersebut untuk melakukan pemantauan.
Pemilik rumah berkenaan telah menanam pokok palma di bahu jalan dan meletakkan kompresor penghawa dingin di kawasan longkang di tepi rumahnya.
Malah, Datuk Seri itu juga telah memecahkan laluan di tepi rumahnya dan menanam pokok sekali gus membuatkan penduduk setempat berasa tidak puas hati. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram