Bezza tukar lorong, langgar Aruz dicari polis


  • 112
  • Ahad, 22 Mei 2022

Polis sedang mengesan pemandu Perodua Bezza untuk membantu siasatan.

POLIS sedang menyiasat berhubung kemalangan yang tular di media sosial membabitkan kenderaan jenis Perodua Bezza dan Perodua Aruz di Jalan Kinabalu di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi satu minit 23 saat yang dimuat naik di Facebook membabitkan kejadian tersebut.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan kira-kira jam 11.59 pagi itu melibatkan kereta jenis Perodua Bezza dan Perodua Aruz.

"Pemandu kereta Perodua Aruz hadir membuat laporan polis manakala pemandu Perodua Bezza masih belum tampil dan kita masih mengesan pemandu berkenaan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur pada Ahad.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Pada Sabtu tular video berdurasi yang dimuat naik di laman facebook oleh pemilik akaun Mohd Fikri Zaarishamdi laman DashCam Owners Malaysia yang memaparkan kejadian kemalangan di Jalan Kinabalu melibatkan kenderaan Perodua Bezza merah dan Perodua Aruz.

Dalam video menunjukkan pemandu Perodua Bezza merah menukar lorong untuk keluar ke susur dalam keadaan melulu, mengundur sebelum melanggar kenderaan di belakangnya.

Pengguna media sosial rata-rata mengecam tindakan pemilik Bezza berkenaan kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram