Sengaja tempah maut? Brad Maloney ada jawapannya


  • Podium
  • Selasa, 17 Mei 2022

Brad (kiri) tidak mengganggap pasukan B-23 negara akan berdepan laluan mudah meskipun terpaksa bertembung dengan Indonesia. — FAM

BRAD Maloney menangkis dakwaan bahawa Malaysia sengaja menempah maut apabila gagal muncul juara Kumpulan B dan sebagai natijahnya akan berdepan Vietnam yang menjadi juara Kumpulan A dalam aksi separuh akhir Sukan Sea 2021.

Skuad muda negara berpeluang mengelak pertembungan dengan pasukan tuan rumah yang juga penyandang pingat emas jika berjaya menewaskan Kemboja dalam aksi terakhir kumpulan pada Isnin, namun dikerah untuk dua kali bangkit bagi menyelamatkan satu mata menerusi keputusan seri 2-2.

Penyerang sensasi yang berpangkalan di Jepun, Hadi Fayyadh muncul wira dengan meledak dua jaringan, salah satunya menerusi sepakan penalti.

Thailand yang menewaskan Laos 1-0 dalam satu lagi perlawanan muncul juara Kumpulan B dengan sembilan mata dan akan berdepan Indonesia di separuh akhir.

Mengulas lanjut, Brad tidak mengganggap pasukan Bawah 23 tahun (B-23) negara akan berdepan laluan mudah meskipun terpaksa bertembung dengan Indonesia.

Pada masa sama, beliau menolak tanggapan bahawa Malaysia sengaja mencari jalan sukar.

"Semua pasukan yang layak ke separuh akhir adalah pasukan yang baik. Kita tidak boleh kata jika jumpa Indonesia akan jadi perlawanan yang mudah, mereka juga pasukan yang kuat. Jika kita mahu menjadi juara, kita periu tewaskan pasukan yang terbaik apabila kita berada di peringkat seterusnya.

"Siapapun yang menjadi lawan kita (di separuh akhir), kita harus bekerja keras seperti aksi di peringkat kumpulan dan berusaha sebaik mungkin menentang pasukan lawan," kata pengendali skuad B-23 negara itu.

Sebelum temasya bermula, Brad berkata bahawa, mereka bertandang ke Hanoi tanpa sebarang sasaran spesifik dan hanya mahu menggunakan pertandingan ini untuk pendedahan dan menguji gandingan pemain sebelum beraksi di Kejohanan Piala AFC B-23 pada Jun nanti.

Malaysia kali terakhir memenangi pingat emas adalah pada edisi 2011 di Indonesia dan pencapaian terbaik selepas itu adalah memenangi pingat perak di temasya KL 2017. — La Bola Malaya

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram