SEORANG wanita cedera di bahagian tengkuk apabila terkena serpihan batu tembok selepas sebuah Perodua Myvi dipercayai melanggar tembok di tingkat empat tempat letak kereta Hentian Bas Terminal One, Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Mohammad Idris berkata, insiden pelanggaran tembok itu menyebabkan serpihan batu tembok tersebut terjatuh lalu menimpa mangsa.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.46 petang dan enam anggota termasuk pegawai dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Bagi memastikan kenderaan itu stabil daripada terjatuh dari tingkat berkenaan, kenderaan mangsa ditarik menggunakan kenderaan 'towing’ dan diserah kepada Majlis Bandaraya Seremban dan polis," katanya dalam kenyataan di Seremban pada Isnin.
Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram