Didakwa mencuri semasa datang beraya, 9 beradik sedondon merah kembali mohon ampun


  • Tular
  • Isnin, 16 Mei 2022

Sembilan kanak-kanak datang beraya memakai baju raya sedondon berwarna merah sebelum didakwa mencuri di Bukit Changgang, Banting pada Ahad.

DATANG beraya tapi mencuri. Itu perkongsian seorang pengguna Facebook, Norfatin Mat Tahia tentang sembilan orang kanak-kanak yang datang beraya di rumahnya di Bukit Changgang, Banting Selangor.

Dalam kejadian yang berlaku pada Ahad, Norfatin memberitahu, dia menerima kunjungan kanak-kanak terbabit yang datang dari Baru Brookland, Bandar Mahkota Banting, Banting, Selangor.

dtg curi raya

Katanya, kanak-kanak yang memakai baju raya sedondon berwarna merah datang bersama ibu saudara yang hanya menunggu di dalam kereta.

"Petang tadi (Ahad) ada sekumpulan kanak-kanak semua pakai baju merah sedondon, berkulit gelap datang beraya, kami beri mereka masuk kerana kebetulan kakak saya juga datang ziarah raya pada ketika itu.

"Dalam kami sibuk, budak-budak itu sempat selongkar beg tangan, kami tidak perasan pada awalnya, namun perkara itu disedari selepas mereka pulang, sampul duit raya hilang dan kami jumpa sampul kosong dalam bilik air," katanya menerusi satu hantaran pada Isnin.

Tambahnya, dia mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh kanak-kanak berkenaan kerana salah seorang daripada mereka ada menggunakan bilik air di rumah sebelum pulang.

Jelasnya lagi, bukan sekadar mencuri, mereka juga bertanya tentang pelbagai soalan tentang keluarga tersebut hingga mencetuskan kebimbangan Norfatin sekeluarga.

"Bila fikir balik, sanggup mereka datang dari jauh dan tiada saudara mara di sini, kami jadi tertanya-tanya dan risau kerena mereka bertanya pelbagai soalan kepada kami," ujarnya.

Susulan kejadian itu, Norfatin yang dihubungi Majoriti memberitahu, kanak-kanak tersebut telah kembali menemuinya pada Isnin untuk meminta maaf atas kejadian yang berlaku.

Norfatin juga menyiarkan secara langsung di Facebook, Norfatin turut pergi ke kediaman mereka untuk bertemu keluarga kanak-kanak berkenaan bagi memperbetulkan keadaan.

Dalam siaran tersebut, turut diceritakan bahawa perbuatan mencuri tersebut dilakukan oleh salah seorang daripada sembilan kanak-kanak berkenaan.

"Mereka ada datang ke rumah minta maaf dan menjelaskan tentang apa yang berlaku, saya juga hantar mereka baik ke rumah selepas itu.

"Mereka adalah rakyat Malaysia dan saudara baharu (muallaf), saya maafkan mereka cuma menasihatkan supaya jangan lakukan kesalahan yang sama jika bertandang ke rumah orang lain selepas ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram