POLIS telah mengenal pasti identiti lima individu disyaki terlibat menyerang seorang lelaki yang cedera parah selepas ditetak dan ditikam berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, ketika ini pihaknya giat mengesan empat lelaki dan seorang wanita terbabit yang dipercayai bersembunyi di sekitar negeri ini.
"Berdasarkan siasatan, lima suspek tersebut dan lelaki yang maut dalam kejadian itu memang saling mengenali antara satu sama lain, namun kami masih menyiasat motif sebenar pergaduhan membabitkan mereka.
Polis kini sedang giat memburu semua mereka terlibat dalam kejadian itu dan kami minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek agar menyalurkannya kepada pihak polis," katanya.
Katanya, laporan bedah siasat mendapati lelaki berusia 30-an itu meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas diserang dan ditikam, dikelar serta ditetak di seluruh badan oleh kumpulan penyerang tersebut.
Shafee berkata, beliau juga memohon orang awam yang menyaksikan kejadian itu agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten SUperitendan Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, lelaki yang mengalami kecederaan parah itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia di HBM. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram