Terlewat masuk kerja punca mangsa lemas kejar kapal layar guna bot kecil — Polis Langkawi


  • 112
  • Khamis, 12 Mei 2022

USAHA mencari mangsa (gambar) sedang dilakukan pihak berkuasa.

SEORANG lelaki yang hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah, Langkawi, Kedah, sudah dikenal pasti sebagai kru kapal layar.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa disahkan sebagai Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, berasal dari Alor Setar, Kedah.

"Hasil temu bual bersama rakannya, mendapati mangsa adalah kru kapal layar 'Sunset Dinner Cruise' dan dipercayai terlewat hadir bertugas pada hari kejadian.

"Mangsa sepatutnya menaiki kapal layar yang berlepas pada pukul 4.30 petang, namun mangsa terlewat dan cuba mengejar kapal layar itu menggunakan bot kecil," katanya.

WhatsApp Image 2022-05-12 at 11.27.19 AM

Bot yang dinaiki mangsa sebelum terjatuh ke dalam laut.

Shariman berkata, kira-kira pukul 5 petang sebuah bot pemancing yang pulang dari Pulau Bumbun menghala ke Kelab Perahu Layar Diraja Langkawi menemui bot kecil berkenaan tanpa pengemudi.

"Pemancing terbabit kemudian menemui sepasang selipar dan satu topi terapung berhampiran bot kecil sebelum menghubungi polis.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),' katanya.

Beliau berkata, SAR bagaimanapun terpaksa dihentikan pada jam 8.50 malam tadi akibat cuaca gelap dan disambung semula pagi Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram