SKUAD Harimau Muda negara yang kini beraksi di Sukan Sea Vietnam berjaya meraih kemenangan kedua menerusi pertemuan bersama Laos pada Selasa.
Penyokong bola sepak tempatan rata-ratanya memuji aksi skuad bawah 23 itu dan berharap supaya rentak kemenangan dapat dikekalkan dalam pertemuan selepas ini.
Menerusi perlawanan dengan Laos, Harimau Muda berjaya menjaringkan tiga gol menerusi jaringan Luqman Hakim pada minit ke-36 dan 67 manakala satu lagi gol dijaringkan Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-43.
Ramai yang memuji aksi Luqman sepanjang perlawanan dan permainan Hadi Fayyadh yang dimasukkan di separuh masa kedua menggantikan Danial Asri.
Wawan Tad berkata, Luqman semakin mendapat rentak menjaringkan gol dan itu adalah satu berita baik untuk skuad negara.
Pemain Harimau Muda meraikan gol kedua mereka ketika menentang Laos.
Apak Putri pula berkata, Luqman dan Hadi perlu diberi sokongan daripada rakan-rakan yang lain dalam usaha untuk menjaringkan gol.
Sementara itu, Qayyum Sukri pula berkata, Hadi sudah boleh dipanggil untuk menyertai skuad senior.
"Hadi mempunyai kawalan bola yang baik. Faktor fizikalnya yang tinggi juga memberi kelebihan kepadanya," katanya.
Menerusi perlawanan semalam, skuad negara kembali menerajui kedudukan teratas Kumpulan B dengan mengumpul enam mata menerusi dua kemenangan dan akan berdepan Singapura, Sabtu ini serta menutup kempen peringkat kumpulan berdepan Kemboja, Isnin depan.
Untuk rekod, kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki adalah pada 2011 di Jakarta apabila mereka menewaskan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penentuan penalti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram