Penduduk Taman Seputeh keliru mahu kekal atau tebang pokok mahagoni


  • Massa
  • Khamis, 12 Mei 2022

DUA batang pokok yang telah dipotong dahan sebelum ini.

PENEBANGAN pokok di Taman Seputeh, Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa dilakukan tanpa mendapatkan persetujuan daripada penduduk setempat.

Penduduk setempat berkata, terdapat dua pokok yang ditebang pada 16 April lalu di Jaan Tanjung 12.

Terdahulu pada 11 April, terdapat percubaan untuk menebang pokok di Jalan Taman Seputeh namun telah dihentikan oleh penduduk setempat.

Akhirnya operasi menebang pokok itu tidak terus dijalankan dan hanya dahan pokok sahaja yang dipotong.

Penduduk berkata, mereka tidak berpuas hati kerana operasi penebangan pokok itu disembunyikan dan ada yang risau jika pokok jenis mahagoni itu dijual.

Presiden Persatuan Penduduk Taman Seputeh (TSRA), P. Balaeswaran berkata, DBKL perlu menjelaskan mengapa mereka menebang pokok itu.

"Adakah pokok-pokok itu mendatangkan bahaya kepada orang ramai?" soalnya.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Beng Seng berkata, mereka bimbang terdapat sindiket yang memang mensasarkan untuk menebang pokok tersebut yang mampu mencecah RM10,000 di pasaran.

"Semasa kejadian 11 April lalu, kontraktor hanya memotong beberapa dahan tetapi terdapat beberapa lori menunggu di lokasi ibaratnya mereka sudah bersedia untuk menunggu pokok itu ditebang.

"Penebangan pokok di sepanjang Jalan Tanjung 12 mengejutkan kami semua," kata pesara arkitek berusia 80 tahun itu.

Bagaimanapun, terdapat juga penduduk lain yang bimbang dengan keadaan pokok mahogani itu kerana mendatangkan risiko keselamatan kerana ia telah tumbuh lebih tinggi dari rumah dua tingkat.

Di beberapa lokasi di Taman Seputeh, akar pokok juga telah menyebabkan struktur longkang retak.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia bimbang sebatang pokok mahogani gergasi di persimpangan Jalan Taman Seputeh dan Jalan Taman Seputeh 3 mungkin tumbang akibat angin kencang dan menghempap ​​rumahnya.

"Saya takut kerana sekarang ini, dahan dan daun pokok jatuh ke rumah kami hingga membuatkan longkang tersumbat," katanya yang bersetuju jika pokok itu ditebang.

Pengerusi Rukun Tetangga Taman Seputeh, Cynthia Hor berkata, masalah itu berpunca daripada perancangan buruk DBKL yang menanam pokok mahogani di kawasan perumahan.

"Pokok ini mempunyai sistem akar invasif yang boleh merosakkan struktur longkang.

"Ketinggian pokok ini juga menimbulkan kebimbangan keselamatan awam dan DBKL harus mempertimbangkan penyelesaian jangka panjang untuk menangani isu itu," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram