Syihan tidak berbangga, Mora teruja


  • Podium
  • Khamis, 12 Mei 2022

Syihan berjaya menafikan segala percubaan pasukan lawan untuk menghalang anak buah Benjamin Mora mendapatkan gol sehinggalah dikecewakan rembatan Forestieri.

PENJAGA gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tidak mampu berkata apa-apa apabila bolos satu gol pada minit ke-100 kepada Johor Darul Takzim (JDT) sebaliknya berterima kasih kepada rakan sepasukan atas semangat juang tinggi.

Dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Rabu, JDT berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila menang 1-0 selepas Fernado Forestieri menjaringkan gol pada minit akhir masa kecederaan.

Dengan asakan bertali arus pemain JDT, Syihan berjaya menafikan segala percubaan pasukan lawan untuk menghalang anak buah Benjamin Mora mendapatkan gol sehinggalah dikecewakan rembatan Forestieri.

Namun, pemain kelahiran Kelantan itu menganggap satu pasukan telah memberikan segala-galanya atas padang dalam usaha mendapatkan kemenangan dan tetap berbangga dengan aksi yang telah ditampilkan.

“Tak boleh nak kata apa dah, tetapi pasukan telah bagi 200 peratus di atas padang.

“Jurulatih mahu kami beri 100 peratus tetapi pemain dah bagi 200 peratus dan itu yang saya bangga dengan mereka.

“Apa pun saya nak cakap Alhamdulillah atas berkat doa isteri, anak-anak, ibu bapa dan seluruh pasukan, kita dah beri yang terbaik malam ini (Rabu).

“Saya tak berbangga dengan diri saya, saya hanya berbangga dengan semua pemain yang telah beraksi dengan cemerlang”, katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui ini merupakan perlawanan yang cukup getir sepanjang 90 minit dan pemain-pemain tidak berputus asa untuk akhirnya memperoleh jaringan pada minit ke-100.

“Kita tidak boleh nak menang seperti ini dalam setiap perlawanan, ia sangat mengujakan dan kami menanti sepanjang perlawanan untuk akhirnya menjaringkan gol.

“Pasukan beraksi semakin baik sepanjang perlawanan dan dalam masa sama mereka juga sudah penat, tetapi mereka tetap berusaha sehingga kita dapat jaringan hebat daripada pemain import kita.

“Apa yang kita boleh belajar, kita kena berjuang sampai habis, dan inilah JDT, kita tidak pernah berhenti melawan”, katanya.

Dalam aksi menentang NSFC pada Rabu, JDT kembali merampas kedudukan Liga Super selepas menang 1-0 manakala aksi di Stadium Darul Makmur menyaksikan Sri Pahang FC tewas 1-2 kepada Sarawak United FC. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram