PUASA sunat enam hari adalah antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya bulan Syawal.
Nabi Muhammad SAW menerusi sebuah hadis pernah bersabda bahawa, kelebihan berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal iaitu bersamaan pahala seseorang berpuasa sepanjang tahun.
Sabda Rasulullah SAW:"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun," — Hadis Riwayat Muslim
Namun, timbul persoalan sama ada puasa sunat dan puasa wajib boleh dilakukan serentak.
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata, seseorang Muslim boleh qada puasa bulan Ramadan dan niat puasa enam sekali gus.
"Ada dua pendapat ulama, pendapat pertama mengatakan tidak boleh dibuat sekali gus manakala pendapat kedua boleh dibuat sekali gus.
"Jadi, dua-dua ulama ni ahli sunnah wal jamaah. Nak buat suku-suku (asing-asing) boleh, nak buat sekali gus pun boleh.
"Niatnya seperti: Aku berniat mengerjakan puasa qada Ramadan pada esok hari serta sunat syawal, insyaALLAH dapat kedua-duanya," katanya menerusi perkongsian video di laman TikTok.
Sementara itu, Ahmad Adnin Roslan atau lebih dikenali sebagai Ustaz Adnin berkata, seseorang tidak boleh mencampurkan puasa wajib dengan puasa wajib yang lain.
Pendakwah bebas itu memberi contoh puasa qada dan puasa nazar, yang mana kedua-duanya tidak boleh digabungkan.
"Manakala kalau puasa wajib dengan sunat seperti puasa qada dicampurkan dengan puasa sunat enam hari, ada ulama kata boleh dan ada ulama kata tak boleh.
"Tapi, saya lebih cenderung untuk mengatakan untuk boleh campur niat tersebut," katanya menerusi perkongsian di aplikasi sama.
Menjawab persoalan sama ada puasa sunat enam hari boleh dilakukan bermula 5 Syawal dan hari seterusnya, Ustaz Adnin menjelaskan, ia boleh dilakukan bila-bila masa sahaja sepanjang bulan Syawal.
Namun, katanya, 1 Syawal adalah hari haram untuk berpuasa.
"Selain 1 Syawal dan bermula 2 Syawal hingga 30 Syawal, kita boleh puasa enam hari pada bila-bila masa sahaja dalam tempoh tersebut, ia bukan boleh dilakukan sampai 7 Syawal sahaja," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram